SekPur lapor polis pemilik akaun media sosial hina PDRM
- Redzuan Shamsudin

- 2 days ago
- 1 min read

Satu laporan polis dibuat bagi menggesa siasatan terhadap sebuah hantaran di media sosial yang didakwa menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta institusi kerajaan.
Ketua Biro Politik Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SekPur), Shahbudin Embun berkata, beliau membuat laporan selepas menemui satu video di Facebook yang didakwa mengandungi kenyataan menghina pasukan keselamatan dan keputusan mahkamah.
Dalam laporan polis yang dilihat media, Shahbudin berkata pada 15 Mac lalu kira-kira jam 2.30 petang, beliau yang berada di sebuah hotel di Kuala Lumpur melayari pautan satu video sebelum mendapati kandungannya mengandungi unsur penghinaan terhadap PDRM.
Beliau mendakwa pemilik akaun Facebook dikenali sebagai Aemirulrizaki Rambli secara jelas membuat kenyataan yang didakwa menghina PDRM, agensi kerajaan serta keputusan pihak mahkamah sehingga menimbulkan pelbagai reaksi negatif dalam kalangan pengguna media sosial.
"Posting tersebut secara jelas menghina PDRM, agensi kerajaan serta keputusan mahkamah, selain mendatangkan kebencian masyarakat melalui komen-komen negatif netizen," katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Shahbudin memohon agar pihak Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan siasatan segera di bawah beberapa peruntukan undang-undang.
Antara undang-undang yang terkait dengan hinaan berkenaan termasuk Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan menerusi Seksyen 186 dan Seksyen 504, serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 di bawah Seksyen 233.
Menurut Shahbudin, laporan itu dibuat bagi menjaga kedaulatan undang-undang serta memastikan imej pasukan keselamatan negara tidak diperlekehkan oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Pihak polis diminta menyiasat perkara ini kerana ia jelas berunsur hasutan kebencian dan berpotensi membangkitkan kemarahan orang ramai terhadap PDRM dalam menangani isu sensitif berkaitan kaum dan agama," katanya.



Comments