Hayati erti kemerdekaan ke-68 dengan semangat perpaduan
- Suara Keadilan
- 10 minutes ago
- 1 min read

Pengerusi Biro Perpaduan Nasional Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Selangor, David Cheong Kian Young, menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menyambut Hari Kemerdekaan ke-68 dengan tekad memperkukuh perpaduan dan menolak sebarang unsur yang boleh memecahbelahkan masyarakat majmuk.
"Tahun ini dengan tema Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni kita menyambut Hari Kemerdekaan ke 68 dengan tekad untuk terus mengukuhkan perpaduan, memperluas kasih sayang sesama rakyat, serta menegakkan keadilan sosial yang menjadi teras negara bangsa," katanya dalam satu kenyataan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang itu menegaskan kemerdekaan bukan sekadar sambutan simbolik, tetapi satu ikrar bersama untuk mempertahankan keharmonian dan saling menghormati yang diwarisi sejak 1957.

"Kemerdekaan tidak bermakna jika kita masih terperangkap dalam politik perkauman, prasangka, dan retorik yang memecahbelahkan rakyat," tegasnya.
Menurut beliau, perpaduan adalah kekuatan utama yang membolehkan Malaysia berdiri megah di mata dunia, justeru setiap rakyat perlu menolak tindakan ekstrem, melampaui batas undang-undang, dan bersifat provokatif.
Dalam pada itu, David turut menyampaikan penghargaan kepada kepimpinan negara dan Kerajaan Negeri Selangor.
"Semoga Malaysia tanah air yang kita cintai ini terus maju dan makmur di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PMX), dan Negeri Selangor terus cemerlang di bawah Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor," ujarnya lagi.
David Cheong menyeru agar sambutan Hari Kebangsaan 2025 ini dijadikan titik permulaan baharu untuk mengukuhkan tekad menjaga keharmonian negara, dan rakyat meneruskan semangat patriotik menyambut Hari Malaysia pada 15 September ini.