PH akan laksana kempen ikut norma baharu - Halim
- Redzuan Shamsudin
- Nov 8, 2021
- 1 min read

Pakatan Harapan (PH) akan melaksanakan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mulai hari ini hingga 19 November secara norma baharu.
Hal itu ditegaskan oleh Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Melaka, Datuk Halim Bachik dalam sidang media, tengah hari tadi.
"Parti Keadilan Rakyat telah menghantar 11 borang penamaan calon dan kesemuanya diterima oleh SPR.
"Semua calon-calon bertanding telah diterima borangnya tanpa ada bantahan dan tak ada masalah. Hal ini menunjukkan calon PH semua bersih.
"PH dengan itu berikrar untuk menjalankan kempen secara sihat serta mengikut norma baharu seperti yang disarankan oleh SPR, KKM dan MKN," katanya.
Dalam sidang sama Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminudin Harun turut menyampaikan nasihat kepada pengundi di Melaka agar memilih calon calon yang betul dalam PRN kelak kerana tiada lagi pilihan raya untuk kerajaan negeri dalam tempoh 5 tahun.
"Kita berharap rakyat Melaka turun mengundi dan pastikan PH menang kali ini.
"Kita tahu jika kita silap memilih atau tak keluar mengundi, pilihan raya ini akan dibuat 5 tahun lagi. Jangan lepaskan peluang untuk memilih kepimpinan negeri Melaka yang baru," katanya.
Sementara itu Pengerusi MPN Kedah, Datuk Johari Abdul pula menganggap barisan calon muda dan berpengalaman yang dibariskan kali ini adalah kombinasi terbaik bagi menerajui Melaka memasuki era persaingan teknologi dan kepesatan ekonomi pada masa hadapan.
"Kita yakin bukan sahaja mereka ini bertenga tetapi mewakili generasi muda yang akan datang.
"Apakah bentuk negara yang kita perlukan di masa akan datang, dan ini diterjemahkan melalui penampilan yang bawa oleh PH. Saya yakin dengan kombinasi, orang lama berpengalaman dan anak muda yang mempunyai pemikiran yang berbeza, kombinasi ini akan membuahkan kejayaan yang kita harapkan.
"Ini peluang rakyat memilih kombinasi yang jitu," katanya.
Commentaires