Pewartaan kawasan hijau, kolam air di Kuala Lumpur disegerakan
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Kerajaan MADANI menyegerakan pewartaan kawasan hijau dan kolam banjir di ibu negara bagi melindungi aset strategik tersebut ditukar guna atau dibangunkan pada masa hadapan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh (gambar) berkata pewartaan kawasan hijau dan kolam takungan banjir penting bagi memainkan peranan besar dalam ekosistem bandar.
Justeru, dua pasukan petugas khas telah ditubuhkan khusus untuk mempercepatkan proses pewartaan tersebut.
"Langkah ini bagi memastikan tapak-tapak infrastruktur seperti ini tidak lagi akan dijual kepada pemaju. Kawasan hijau ataupun kolam takungan banjir memainkan peranan penting dalam ekosistem Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan," katanya dipetik.
Beliau sebelum itu menghadiri sesi taklimat Projek CSR Penaiktarafan Laluan Belakang (Backlane Upgrading Works) di Desa Sri Hartamas pada Khamis.
Sementara itu menurut Hannah, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga sedang melaksanakan pembinaan kolam takungan air bawah tanah atau on-site detention pond di beberapa lokasi strategik di sekitar Kuala Lumpur.
Langkah tersebut bertujuan menjadikan Kuala Lumpur sebuah “bandar span” atau sponge city yang mampu menyerap dan menakung lebih banyak air hujan sekaligus mengurangkan risiko banjir.
Selain menambah kapasiti takungan air, kerajaan juga jelasnya memberi penekanan kepada penyediaan kawasan hijau yang lebih bermakna dan boleh dimanfaatkan masyarakat menerusi kemudahan seperti trek joging dan ruang rekreasi awam.




Comments