top of page

Pewartaan ambil tanah Kg Sg Baru dibuat dalam 3 hari era PN - Dr Zaliha

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 10
  • 1 min read

ree

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (gambar) mendedahkan proses pengambilan tanah Kampung Sungai Baharu pada 2021 ketika era pentadbiran Perikatan Nasional (PN) dibuat secara tergesa-gesa sehingga menimbulkan tanda tanya.


Menurutnya, keputusan pengambilalihan kawasan termasuk flat dan lot teres menerusi Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486) itu diluluskan selepas pemaju memohon kepada Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) ketika itu.


"Pemaju menghantar permohonan untuk mengambil tanah, seterusnya dipertimbangkan Mesyuarat Pasca Kabinet KWP, dipengerusikan Annuar pada 9 September 2020.


"Pewartaan bagi Seksyen 4 dan 8 dibuat dalam tempoh tiga hari sahaja, iaitu 18 hingga 21 Jun 2021.


"Soal kewajaran kelulusan tergesa-gesa ini wajar dijawab oleh Menteri Wilayah ketika itu," katanya dalam sesi penerangan Hala Tuju Pembangunan Kampong Bharu di Dewan Rakyat pada Khamis.


Sebelum ini, ada segelintir pihak cuba menunggang isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru bagi menimbulkan kebencian kepada Kerajaan Madani sehingga menjurus kepada ketidaktenteraman awam.


11 September lalu, mereka melakukan provokasi semasa proses pengosongan tapak dijalankan sehingga menyebabkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman mengalami cedera.


Sementara itu pada sesi sama, Dr Zaliha menepis tuduhan bahawa terdapat penduduk yang masih tidak menerima pampasan.


Beliau menjelaskan, proses pembayaran wang pampasan kepada penduduk di Kampung Sungai Baru yang tidak bersetuju dengan projek pembangunan di kawasan itu telah selesai dan disalurkan antara Februari 2022 hingga Januari 2023.


Ahli Parlimen Sekijang itu turut menegaskan, bahawa isu Kampung Sungai Baru tidak wajar disamakan dengan Kampung Bharu kerana status pemilikan tanah kedua-duanya berbeza sama sekali.


Tanah di Kampung Sungai Baru adalah berstatus pajakan selama 99 tahun dan bukannya milik kekal seperti di Kampung Bharu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page