top of page

Petronas bekalkan LNG ke Jepun selama 20 tahun, guna ringgit, yen

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 3 min read
DS Anwar selepas sidang media bersama PM Jepun, Sanae Takaichi
DS Anwar selepas sidang media bersama PM Jepun, Sanae Takaichi

Malaysia dan Jepun memperkukuh hubungan ekonomi strategik menerusi perjanjian jual beli gas asli cecair (LNG) jangka panjang antara Petronas dan JERA, selain memperluas penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan dua hala sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada dolar Amerika Syarikat (AS).


Kerjasama tersebut termeterai ketika Jepun meningkatkan usaha memperkukuh rizab tenaga negara di tengah ketidaktentuan global termasuk memastikan bekalan LNG yang mencukupi yang dipengaruhi konflik geopolitik semasa.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kedua-dua negara baru sahaja memuktamadkan perjanjian jual beli LNG jangka panjang antara Petronas dan JERA, syarikat pembekal tenaga terbesar Jepun melibatkan bekalan dua juta tan LNG setahun selama 20 tahun bermula 2028.


Beliau menyifatkan perjanjian itu sebagai satu pencapaian penting yang mencerminkan tahap kepercayaan dan kerjasama yang kukuh antara Malaysia dan Jepun.


"Kami baru sahaja memuktamadkan perjanjian jual beli LNG jangka panjang antara Petronas dan JERA untuk membekalkan dua juta tan LNG setahun bagi tempoh 20 tahun bermula 2028.


"Ini merupakan satu pencapaian yang luar biasa dan kejayaan dari segi kepercayaan serta kerjasama antara dua negara sahabat yang hebat," katanya dipetik dalam sidang media bersama Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi di Tokyo semalam.


Anwar yang juga Menteri Kewangan menyifatkan perjanjian LNG jangka panjang ini memperkukuh peranan Malaysia sebagai pemain utama dalam pasaran tenaga global di samping menarik lebih banyak pelaburan strategik ke dalam negara.


Kata beliau lagi, Kuala Lumpur-Tokyo turut mencapai kemajuan dalam kerjasama kewangan termasuk pengaturan pertukaran mata wang dua hala (bilateral swap arrangement) serta usaha memperluas transaksi perdagangan menggunakan mata wang tempatan.


Menurut beliau, penggunaan ringgit dan yen dalam urusan perdagangan dan pelaburan akan membantu mengurangkan kebergantungan kepada dolar AS selain meningkatkan daya tahan ekonomi kedua-dua negara berdepan ketidaktentuan pasaran kewangan global.


"Perkara yang sangat dekat di hati saya ialah memperluaskan transaksi mata wang tempatan menggunakan ringgit dan yen supaya kita dapat meningkatkan kebergantungan ekonomi antara satu sama lain.


"Saya amat gembira mendengar persetujuan dan persefahaman yang dicapai antara Bank Negara Malaysia dan Bank Pusat Jepun mengenai perkara ini," katanya.


Sementara itu, Takaichi berkata Malaysia kekal sebagai rakan penting Jepun dalam bidang perdagangan, pelaburan dan keselamatan tenaga, khususnya ketika persekitaran geopolitik global semakin mencabar.


Beliau berkata kerjasama dengan Malaysia sebagai pembekal LNG yang stabil kini menjadi semakin penting bagi Jepun susulan ketidaktentuan pasaran tenaga antarabangsa.


"Ketika situasi tenaga antarabangsa menjadi semakin tidak menentu, kerjasama dengan Malaysia sebagai pembekal LNG yang stabil menjadi lebih penting kepada Jepun," katanya.


Menurut beliau, kedua-dua negara turut mencapai persetujuan untuk memperkukuh kerjasama dalam keselamatan bekalan tenaga termasuk LNG dan baja, selain meneroka kerjasama berkaitan peralihan tenaga serta mineral kritikal.


Takaichi berkata Jepun dan Malaysia juga akan terus memperdalam kerjasama dalam bidang keselamatan maritim menerusi latihan bersama, pembangunan keupayaan dan pelaksanaan Memorandum Kerjasama mengenai keselamatan serta keselamatan maritim.


Anwar berkata hubungan ekonomi Malaysia-Jepun yang terjalin sejak beberapa dekad lalu kini memasuki fasa baharu dengan tumpuan kepada kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, teknologi digital, mineral kritikal dan rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan.


Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan Jepun dalam pembangunan perindustrian Malaysia sejak tahun 1970-an yang menjadi asas kepada kedudukan negara sebagai hab penting semikonduktor dan teknologi digital di rantau ini.


"Kini kita sedang memperluaskan kerjasama dalam bidang AI, semikonduktor dan teknologi digital. Malaysia sedang muncul sebagai hab semikonduktor dan kami terbuka untuk kerjasama yang lebih luas termasuk berkaitan mineral kritikal serta rantaian bekalan yang berdaya tahan," katanya.


Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin turut membincangkan kerjasama dalam bidang pertahanan dan keselamatan maritim, pembangunan modal insan, peralihan tenaga, isu serantau serta usaha memperkukuh Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-Jepun.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page