PETRA tubuh jawatankuasa atasi kecurian elektrik aktiviti bitcoin
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) sudah menubuhkan satu jawatankuasa untuk menangani kecurian bekalan elektrik bagi aktiviti perlombongan bitcoin.
Jawatankuasa tersebut yang dianggotai wakil antaranya daripada Kementerian Kewangan, Kementerian Digital, Kementerian Dalam Negeri, Bank Negara (BNM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu akan membincangkan perkara meliputi aspek dasar, perundangan dan isu lain membabitkan rentas kementerian dan agensi berkaitan kecurian elektrik.
"Jawatankuasa ini turut berperanan memudah cara perkara yang memerlukan intervensi di peringkat dasar mahupun polisi bagi mengekang aktiviti kecurian bekalan elektrik.
"Daripada kita hanya tengok dari sudut pengkuatkuasaan, jawatankuasa ini akan melihat secara holistik. Mesyuarat pertama akan dipengerusikan oleh saya pada hujung tahun ini," kata Timbalan Menteri PETRA, Akmal Nasrullah Mohd Nasir (gambar) dipetik di Dewan Rakyat semalam.
Beliau sementara itu berkata, kementeriannya turut bersedia memperhalusi dan mewujudkan suatu dasar untuk mengharamkan aktiviti bitcoin dan menambahbaik Akta 447 sekiranya ada keperluan.
Terdahulu, beliau membuat penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan berjumlah RM5.19 bilion bagi kementerian itu dalam Belanjawan 2026, dengan lebih suara bersetuju.









Comments