
Rakyat Sarawak perlu menghantar lebih banyak calon dalam kalangan petani ke Dewan Undangan Negeri (DUN).
Hal itu ditekankan oleh Pengerusi Majlis Penasihat KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dalam kempen di DUN Opar, semalam.
Katanya, masyarakat petani di Opar mesti menaikkan calon KEADILAN, Meneng Anak Biris agar isu isu penduduk di sana lebih terbela.
"Saya menyeru orang Sarawak mengundi dan undilah calon kita.
"Kenapa dia nak tolong? Orang Opar ini orang petani. Orang petani penting kerana masa Covid petani diperlukan. Macam mana nak makan kalau tak ada petani?
"Petani mesti kita tolong bagaimana mereka boleh bantu diri mereka sendiri. Tuan tuan dan puan puan yang undi. Kalau tak cukup undi dia (Meneng) tak dapat jadi wakil," katanya.
Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, hanya pengundi di Opar yang akan membantu diri mereka sendiri pada hari mengundi.
Oleh itu, Dr Wan Azizah menyeru agar mereka menghargai undi dan jangan dibeli dengan wang ringgit atau sebarang hadiah yang ditawarkan.
"Calon nombor 4. Jangan salah pilih. Keluar pagi pagi dan kita undi. Dia boleh bantu kita bawa isu isu orang Opar di DUN.
"Orang (parti lain) bagi apa ambil. Kalau tak bagi kita tak curi. Tetapi undi adalah hak kita. Hak pengundi di Opar. Undilah calon kita, calon PKR, lambang mata jangan lupa. Ubah cara hidup kita untuk kebaikan," katanya lagi.