top of page

Petaling Jaya kerusi 'tidak selamat', seharusnya MP kerja kuat selesai isu rakyat

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • May 11
  • 2 min read

Prestasi wakil rakyat tidak diukur dengan kekerapan mengeluarkan kenyataan media atau pendapat sebaliknya keupayaan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh penduduk dalam kawasannya.


Sehubungan itu, Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Bryan Ng Yih Miin (gambar) mengkritik prestasi Ahli Parlimen (MP) Petaling Jaya, Lee Chean Chung dengan menyifatkannya sebagai “jaguh kenyataan” tetapi kurang menyelesaikan isu berbangkit.


Menurut beliau, dakwaan Chean Chung bahawa kerusi beliau kini “tidak selamat” lebih mencerminkan kelemahan prestasi sendiri di kawasan yang disifatkan sebagai kubu kuat KEADILAN.


"Parlimen Petaling Jaya merupakan kerusi Gred A bagi KEADILAN, sekiranya kerusi ini tewas dalam pilihanraya akan datang, YB Lee Chean Chung ialah orang pertama yang harus bermuhasabah dan bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakan beliau," katanya dalam kenyataan hari ini.


Bryan Ng mendakwa antara kelemahan utama wakil rakyat itu adalah kegagalannya menangani isu banjir kilat di beberapa kawasan seperti Taman Sri Manja, Taman Dato' Harun dan Jalan 223.


"Walaupun mempunyai akses kepada kementerian dan agensi teknikal (sebagai wakil kerajaan), jawapan paling konsisten hanyalah kenyataan media meminta laporan dan menolak (menyerahkan) segala tanggunjawab kepada MBPJ dan Kerajaan Negeri Selangor tanpa satu solusi yang konstruktif," katanya.


Ahli Majlis Petaling Jaya itu juga turut mempersoalkan kehadiran Chean Chung di lapangan ketika berlakunya bencana.


"Lee Chean Chung sepatutnya turun padang, lihat apa keadaan sebenarnya dan menggunakan kuasa dan pengaruh yang sedia ada untuk mendapatkan satu solusi yang pragmatik dan bukannya hanya membuat kenyataan media yang retorik," ujarnya.


Dalam pada itu, Bryan Ng mendakwa Chean Chung juga kerap tidak menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN walaupun mempunyai ruang untuk membangkitkan isu rakyat secara langsung kepada kepimpinan tertinggi parti termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.


"Sepanjang perlantikan saya dalam MPP, Lee Chean Chung dikesan kerap tidak hadir mesyuarat. Beliau tidak pernah membangkitkan atau membincangkan isu-isu rakyat secara konstruktif di dalam mesyuarat, namun di luar beliau bersikap "lantang" mengkritik parti," katanya.


Pada masa sama, Naib Ketua Cabang Petaling Jaya itu mendakwa Chean Chung juga berdepan penolakan di peringkat akar umbi apabila gagal menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Petaling Jaya serta tewas dalam pemilihan cabang.


"Kekalahan beliau dalam Pemilihan Cabang Petaling Jaya (2025) adalah bukti jelas anggota parti sendiri sudah hilang keyakinan terhadap gaya kepimpinan beliau yang terasing daripada akar umbi."


Bryan Ng turut menyentuh isu kehadiran wakil rakyat itu dalam program komuniti termasuk sepanjang Ramadan lalu yang menurutnya kurang dirasai penduduk.


Katanya, tradisi wakil rakyat KEADILAN sebelum ini sering berbuka puasa di surau-surau sekitar Taman Medan kini seolah-olah terhenti, sehingga mengundang rasa kecewa dalam kalangan penduduk yang jarang melihat beliau di bazar atau program komuniti.


Beliau mengkritik pendekatan Chean Chung dalam isu Tasik Taman Jaya yang disifatkan sekadar mengemukakan cadangan tanpa membawa penyelesaian konkrit.


"Sebagai Ahli Parlimen kerajaan dan seorang berkelayakan kejuruteraan, beliau sepatutnya membawa penyelesaian teknikal dan peruntukan persekutuan, bukannya sekadar "mencadangkan" pihak berkuasa bekerjasama dengan universiti melalui hantaran media sosial," bidasnya.


Sehubungan itu, Pengerusi Biro Undang-undang dan Aduan KEADILAN Selangor itu menggesa Chean Chung supaya menghentikan pendekatan retorik dan memberi lebih tumpuan kepada penyelesaian sebenar isu isu rakyat.


"Petaling Jaya perlukan wakil rakyat yang mengikhtiarkan solusi, bukan sekadar memberi kenyataan media," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page