top of page

Petah berpantun jangan hilang kesantunan - Rozy Razit tegur Ahmad Maslan

Writer: Azuan Ab Rahman
Azuan Ab Rahman
18 hours ago
2 min read
Timbalan Setiausaha Wanita KEADILAN, Noraziah Mohd Razit
Timbalan Setiausaha Wanita KEADILAN, Noraziah Mohd Razit

Perbezaan politik bukan lesen untuk menggunakan bahasa yang tidak sopan. Ketegasan berhujah tidak memerlukan ungkapan kesat, manakala kepetahan berpantun tidak seharusnya mengorbankan kesantunan - Rozy

Kebebasan setiap Ahli Parlimen untuk berhujah, berbahas dan menyampaikan pandangan, termasuk melalui pantun tidak wajar mengetepikan adab, kesantunan bahasa dan tanggungjawab terhadap institusi Parlimen.


Pendirian itu dinyatakan Timbalan Setiausaha Wanita KEADILAN, Noraziah Mohd Razit sebagai mengulas tindakan provokasi politik Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan di Dewan Rakyat semalam.


"Mengecewakan apabila ungkapan demikian datang daripada seorang Timbalan Menteri.


"Perbezaan politik bukan lesen untuk menggunakan bahasa yang tidak sopan. Ketegasan berhujah tidak memerlukan ungkapan kesat, manakala kepetahan berpantun tidak seharusnya mengorbankan kesantunan.


"Kita tidak boleh menuntut rakyat menghormati institusi Parlimen sekiranya mereka yang diberikan amanah untuk berada di dalamnya sendiri gagal menunjukkan teladan sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan.


Noraziah yang lebih dikenali sebagai Rozy Razit sementara itu turut mengingatkan bahawa jawatan yang disandang bukan sekadar membawa kedudukan dan kuasa, sebaliknya menuntut disiplin, integriti serta standard etika yang lebih tinggi.


Terdahulu, media melaporkan Ahli Parlimen Pontian itu menyelitkan pantun berunsur sindiran ketika menjawab celahan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) berhubung isu penghapusan tol.


Tindakan tersebut kemudian dikritik kerana dianggap gagal menunjukkan prinsip tanggungjawab bersama sebagai anggota kerajaan.


Rozy menerusi kenyataan tersebut turut berkata, tindakan Ahmad Maslan menarik balik ungkapan pantunnya tidak wajar dianggap sebagai penamat kepada soal tanggungjawab dan akauntabiliti.


Justeru beliau menggesa agar tindakan pemimpin Umno itu diberikan perhatian serius oleh pihak yang bertanggungjawab terhadap tatatertib dan perjalanan persidangan Dewan Rakyat agar perkara sama tidak berulang.


"Prinsip akauntabiliti tidak boleh dilaksanakan secara terpilih. Etika yang sama mesti terpakai kepada semua, sama ada anggota Kerajaan mahupun Pembangkang.


"Jangan sampai budaya politik yang menghalalkan bahasa tidak beradab akhirnya merendahkan martabat institusi yang sepatutnya kita pertahankan," tegasnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page