Seramai 40 warga Palestin yang cedera akibat perang di Gaza akan diterbangkan dari Pangkalan Udara Al Maza, Mesir pada malam ini dengan dua pesawat Airbus A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Warga Palestin yang cedera dan kini sedang menerima rawatan di beberapa hospital di Mesir mengalami pelbagai masalah kesihatan, termasuk kecederaan tulang dan melecur.
Duta Mesir ke Malaysia Ragai Nasr memberitahu Bernama, dua pesawat dan pesakit dijadualkan tiba di Malaysia esok.
"Mereka akan menerima rawatan di hospital yang ditetapkan oleh Malaysia," katanya.
Sumber pertubuhan bukan kerajaan yang menerima surat jemputan bagi menyambut ketibaan pesakit Palestin itu memberitahu Suara Keadilan bahawa pesawat TUDM itu dijadual mendarat di Pangkalan Udara Subang pada malam esok.
Terdahulu Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan bahawa dua pesawat A-400M milik TUDM telah diterbangkan ke Mesir untuk membawa warga Palestin yang cedera ke Malaysia untuk rawatan perubatan.
Beliau memberitahu perincian mengenai perkara itu akan dimaklumkan esok.
Nasr dipetik sebagai berkata, pemilihan 40 warga Palestin yang cedera untuk mendapatkan rawatan di Malaysia dibuat atas arahan Presiden Abdel Fattah el-Sisi selepas menerima permintaan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Ini adalah usaha yang diselaraskan membabitkan pelbagai pihak yang bekerjasama untuk memenuhi permintaan Perdana Menteri Anwar," katanya.
Beliau turut memberi jaminan untuk komitmen meneruskan usaha mereka dengan kerjasama Malaysia.
Pada 4 Ogos lalu, Anwar ketika Perhimpunan Pembebasan Palestin di Stadium Arena Axiata, Bukit Jalil mengumumkan bahawa Malaysia akan membantu merawat warga Palestin yang cedera dengan membawa mereka ke Malaysia.
Menurut laporan media, hampir 40,000 warga Palestin telah terbunuh di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dan lebih 92,000 lagi cedera akibat serangan tentera Isreal selepas perang tercetus sejak 7 Oktober lalu.
Menurut Nasr, Mesir kini menempatkan lebih 70,000 warga Palestin di 40 hospital.
"Kami akan meneruskan bantuan ini, apa sahaja yang diminta oleh Malaysia pada masa hadapan," katanya.
Memberi reaksi terhadap langkah terbaru Malaysia memberikan sokongan padu kepada Palestin, seorang pemimpin kerajaan, Fuziah Salleh yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata;" Alhamdulillah, actions speak louder than words. Semalam, dua pesawat TUDM telah diterbangkan ke Pangkalan Udara Al Maza, Mesir untuk membawa rakyat Palestin yang cedera ke Malaysia bagi menerima rawatan.
"Asalnya hasrat ini dinyatakan oleh Perdana Menteri pada 4 Ogos lepas ketika Himpunan Pembebasan Palestin di Arena Axiata. Terima kasih PMX dan juga pihak yang terlibat dalam misi ini!"
Comments