Perutusan yang terburuk sejak Muhyiddin jadi PM


Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyifatkan perutusan Tan Sri Muhyiddin Yassin petang semalam adalah perutusan terburuk yang pernah disampaikan sejak beliau menjadi Perdana Menteri pada 1 Mac lalu.


Beliau menganggap perutusan Muhyiddin kurang sensitif terhadap rakyat, malah nasihat yang diberikan seolah-olah 'cakap tidak serupa bikin'.


"Muhyiddin pastinya berjaya menarik jumlah penonton tertinggi dalam Perutusan Khas melalui Facebook beliau semalam, tetapi perutusan beliau semalam adalah perutusan terburuk yang pernah beliau buat sejak menjadi Perdana Menteri “pintu belakang”.


"Reaksi negatif, cemas, dan marah membanjiri media sosial selepas beliau menggelarkan diri beliau sebagai “Abah” dan secara berseloroh mengugut untuk “menggunakan rotan” jika rakyat tidak mematuhi SOP kerajaan untuk mengekang penularan wabak Covid-19.


"Kemarahan rakyat ini dapat difahami, memandangkan seorang kanak-kanak yang berusia setahun baru sahaja dilaporkan menjadi korban terkini wabak ini, mangsa termuda Covid-19 dalam negara kita.


"Rakyat dapat melihat dengan jelas, layanan berbeza yang diamalkan kerajaan beliau dalam melaksanakan SOP ini sedangkan beliau baru sahaja mendakwa yang kerajaan tidak memberikan layanan berbeza kepada mana-mana orang," katanya dalam kenyataan.'


Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri turut meluahkan rasa terkilannya terhadap cara kerajaan menangani COVID-19.


"Saya bersetuju dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, yang rakyat Malaysia tidak boleh mensia-siakan usaha para petugas barisan hadapan dan kita semua harus bersatu padu untuk melawan wabak ini dan tidak terus “menangisi nasi yang telah menjadi bubur”.


"Tetapi apa yang dilakukan terhadap “bubur” ini akan menjadi kayu ukur terhadap kesediaan kerajaan untuk belajar daripada kesilapannya dan mula menguruskan defisit kepercayaan yang dihadapi mereka dalam negara serta menjadi tauladan yang baik untuk menyatupadukan rakyat dalam melawan wabak Covid-19.


"Agak tragik apabila satu-satunya orang yang dipercayai ramai dalam kerajaan berkenaan dengan isu Covid-19 ini adalah Ketua Pengarah Kesihatan, yang terpaksa menjalankan tugas beliau dan melakukan sidang media secara langsung daripada rumah beliau semasa menjalani kuarantin memandangkan Menteri Kesihatan kita telah memusnahkan kredibiliti beliau sejurus selepas mengangkat sumpah sebagai menteri pada bulan Mac lalu," katanya.


Justeru, Kit Siang menggesa kerajaan untuk mengembalikan keyakinan rakyat dalam soal menangani COVID-19 dan berhenti mengamalkan sikap 'double standard'.


"Rakyat Malaysia berhak untuk menuntut prestasi yang lebih baik daripada para menteri kita, walaupun kabinet kini telah dilumpuhkan oleh wabak ini.


"Muhyiddin harus menggerakkan menteri beliau untuk segera mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada kerajaan untuk melawan virus Covid-19 dan pemimpin kerajaan harus berhenti berhenti mengamalkan sikap menasihati rakyat mematuhi SOP Covid-19 sambil melanggarinya.


"Sebagai langkah pertama, Muhyiddin perlu memastikan Ketua Menteri dan Menteri-menteri Besar daripada negeri-negeri Pakatan Harapan, Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan tidak dikecualikan lagi dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara berkenaan Covid-19 yang akan datang!" katanya.

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio