top of page

Perutusan PM bukti Kerajaan MADANI berani laksana reformasi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 days ago
  • 2 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman


Perutusan Tahun Baharu 2026 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin membuktikan bahawa pentadbiran negara hari bukan kerajaan yang bermain retorik, sebaliknya berani melaksanakan perubahan melalui reformasi sebenar.


Naib Ketua Wanita KEADILAN, Rozana Zainal Abidin (gambar) dalam satu kenyataan berkata, langkah seperti pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara, had tempoh jawatan Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), pengenalan Ombudsman serta Akta Kebebasan Maklumat (FOI) merupakan reformasi institusi yang berani dan belum pernah dilaksanakan oleh pentadbiran terdahulu.


"Langkah ini menepis dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan mahu menumpukan kuasa, sebaliknya apa yang diumumkan menunjukkan usaha mengehadkan kuasa demi keadilan dan akauntabiliti.


"Kerajaan memilih jalan yang sukar tetapi bertanggungjawab untuk membetulkan sistem, bukannya menabur janji populis.


"Dari sudut ekonomi dan kebajikan rakyat, pencapaian kerajaan dapat dilihat melalui pelaburan tertinggi dalam sejarah, pengukuhan nilai ringgit, kenaikan gaji penjawat awam, pelaksanaan subsidi bersasar, penyaluran bantuan tunai terus kepada rakyat serta sokongan besar kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS)," katanya.


Beliau turut menegaskan, komitmen kerajaan terhadap hak wilayah Sabah dan Sarawak juga terbukti melalui pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dilaksanakan secara nyata, bukan sekadar slogan.


Sementara itu, Rozana yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan berkata, Kerajaan MADANI terus mengutamakan sektor pendidikan sebagai teras pembinaan negara.


Menurutnya, perkara itu dapat dilihat melalui bantuan dan sokongan yang disalurkan kerajaan kepada sekolah semua aliran termasuk sekolah agama, tahfiz, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil.


"Selain itu kerajaan terus meningkatkan kebajikan pelajar menerusi bank makanan dan dapur siswa, serta usaha berterusan meringankan beban tugas guru.


"Langkah-langkah ini jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk membetulkan sistem dan memikul amanah, dengan keutamaan kepada kestabilan negara serta masa depan rakyat," tambahnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page