Usaha menyemai budaya perpaduan dikalangan kaum di negara ini tidak hanya terletak di bahu pemerintah semata-mata, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Melalui perutusan sempena sambutan Hari Krismas 2022 yang dikongsikan di laman Facebooknya, Anwar berkata setiap rakyat perlu memainkan peranan yang ampuh dan berterusan dalam memelihara keamanan, kerukunan serta semangat bersatu-padu.
"Hari Krismas atau Hari Natal adalah hari besar buat penganut Kristian dan mereka meraikannya dengan keluarga dan sahabat setiap tahun.
Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan rencam budaya, adalah menjadi kebiasaan dan kewajiban setiap kita untuk mengambil kesempatan ini untuk mengeratkan silaturahmi antara rakyat dengan mengucapkan kata-kata yang indah buat mereka," katanya.
Dalam ucapannya juga Anwar menegaskan membenih dan menyemai budaya perpaduan adalah tanggungjawab rakyat untuk memainkan peranan berterusan dalam memelihara keamanan, kerukunan serta semangat bersatu padu.
Katanya, mesej atau seruan yang berbaur kebencian dan cubaan untuk mengapi-apikan perbedaan mesti dibenam dengan sikap kasih sayang dan rahmah.
"Semoga sambutan Krismas pada tahun ini lebih meriah serta membawa keamanan, keharmonian, kemakmuran dan perpaduan kepada Malaysia, yang terbilang dan rakyatnya yang mencintakan keadilan.
"Kepada yang pulang ke kampung halaman, saya seru untuk berwaspada dan berhati-hati di jalan raya,” katanya.
Comments