top of page

28 tahun Reformasi: Perjuangan membentuk keadilan, kesaksamaan di Malaysia – Mustapa Mansor

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
4 hours ago
3 min read
Detik keramat DS Anwar memberi ucapan di Masjid Negara disaksikan 50,000 penyokong sebelum berarak ke Dataran Merdeka pada petang 20 September 1998 yang mencetuskan perubahan politik di Malaysia.
Detik keramat DS Anwar memberi ucapan di Masjid Negara disaksikan 50,000 penyokong sebelum berarak ke Dataran Merdeka pada petang 20 September 1998 yang mencetuskan perubahan politik di Malaysia.

Gerakan Reformasi 1998 bukan milik mana-mana individu semata-mata, sebaliknya merupakan pengalaman sebuah generasi yang menyaksikan rakyat daripada pelbagai latar belakang bangkit membawa tuntutan keadilan dan perubahan, kata Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis Malaysia (PKORM), Mustapa Mansor Amer Mohd Isa.


Beliau berkata, 20 September 1998 kekal sebagai tarikh penting dalam sejarah Malaysia selepas ribuan rakyat berkumpul di sekitar Masjid Negara sebelum bergerak ke Dataran Merdeka, manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan pada malam sama. Lapan belas hari sebelumnya, pada 2 September Anwar disingkirkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan oleh Kerajaan BN yang memerintah ketika itu.


"Hari ini, 20 September 2026, genap 28 tahun satu peristiwa yang amat dekat dengan jiwa kami yang melalui sendiri gelombang Reformasi 1998.


"20 September 1998 bukan sekadar tarikh. Ia adalah satu memori, satu pengalaman dan satu bab sejarah Malaysia yang kami saksikan dengan mata sendiri," kata Mustapa dalam satu kenyataan.


Katanya, beliau sendiri berada di beberapa lokasi ketika himpunan dan suasana tegang berlaku pada hari itu, termasuk di Masjid Negara, Dataran Merdeka, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Sogo, Pertama Kompleks dan PWTC.


"Saya masih mengingati suasana rakyat yang turun ke jalan raya. Ada anak muda, mahasiswa, aktivis, orang kampung, pekerja juga orang tua.


"Pelbagai latar belakang, tetapi pada ketika itu mereka berkongsi satu persoalan besar: Ke manakah arah keadilan dan masa depan Malaysia?" katanya.


Menurut beliau, laungan “Reformasi!” ketika itu menjadi simbol kemunculan sebuah generasi yang berani menyuarakan tuntutan terhadap keadilan.


Ujarnya, beliau turut menghasilkan buku bertajuk 'Rakyat Menuntut Keadilan' sebagai sebahagian daripada usaha mendokumentasikan suara rakyat ketika gerakan Reformasi berlangsung.


"Buku itu bukan sekadar tulisan. Ia adalah catatan perjalanan yang menjadi sebahagian daripada usaha kami mendokumentasikan suara rakyat pada zaman tersebut.


"Menurut catatan dan pengalaman saya, buku itu terjual lebih 8,000 naskhah. Hasil jualannya menjadi antara sumber kewangan yang membantu kami meneruskan kerja-kerja gerakan pada ketika itu."


Beliau berkata pengalaman tersebut mengajarkan bahawa perjuangan rakyat turut memerlukan pengorbanan, tenaga, masa dan sumber walaupun digerakkan oleh individu yang mempunyai kemampuan terhad.


"Kami bukan orang kaya, bukan sebuah kuasa besar. Kami hanyalah rakyat biasa dengan kemampuan yang terbatas.


"Namun kami percaya bahawa suara rakyat mempunyai nilai. Kami bergerak dengan apa yang ada pada tangan kami, menulis, mencetak, berdialog. Kami turun ke lapangan," katanya.


Reformasi bukan milik seorang tokoh


Selepas 28 tahun, sejarah Reformasi perlu dilihat secara menyeluruh dengan mengiktiraf peranan pelbagai kelompok yang terlibat dalam gerakan tersebut.

Mustapa Mansor Amer Mohd Isa
Mustapa Mansor Amer Mohd Isa

"Anwar Ibrahim memang menjadi tokoh utama dan ikon dalam naratif Reformasi 1998. Namun gerakan tersebut tidak hanya terdiri daripada seorang manusia.


"Ia turut melibatkan aktivis, mahasiswa, NGO, pemimpin politik, pekerja, keluarga dan rakyat biasa yang masing-masing memberikan sumbangan kepada perkembangan gerakan tersebut," ujarnya.


Menurut Mustapa, Anwar menjadi simbol kepada gerakan berkenaan namun rakyat, aktivis, mahasiswa, NGO dan masyarakat sivil turut memainkan peranan dalam membentuk perjalanan Reformasi.


"Sebab itu bagi saya Reformasi bukan milik seorang tokoh. Reformasi adalah pengalaman sebuah generasi.


"Anwar menjadi simbol. Tetapi rakyatlah yang memenuhi jalan-jalan. Aktivislah yang menggerakkan kerja lapangan. Mahasiswalah yang membawa semangat perubahan."


Beliau berkata perubahan kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 2018 mempunyai makna sejarah yang besar kepada mereka yang melalui perjalanan Reformasi sejak 1998.


Namun katanya, perubahan kerajaan tidak seharusnya dianggap sebagai garisan penamat perjuangan.


"Perubahan kerajaan hanyalah salah satu bab. Persoalan lebih besar ialah adakah prinsip keadilan, integriti, kebebasan institusi, demokrasi, amanah dan kebajikan rakyat terus dipelihara? Itulah soalan yang harus sentiasa kita tanyakan," katanya.


Mustapa turut mengingatkan bahawa generasi muda hari ini tidak mengalami sendiri suasana Reformasi 1998 dan sebahagian mereka hanya mengenalinya melalui rakaman video, buku sejarah, media sosial serta cerita generasi terdahulu.


Tambahnya, generasi muda perlu diberikan ruang untuk menilai sejarah berdasarkan ilmu dan memahami bahawa demokrasi bukan sekadar proses pilihanraya.


"Hari ini kita tidak hanya mengenang sebuah penahanan. Kita mengenang sebuah generasi yang pernah bertanya: ‘Apakah Malaysia yang kita mahu?’


"Jawapan kepada soalan itu tidak selesai pada tahun 1998. Ia adalah amanah yang perlu dijawab oleh setiap generasi," katanya.


Sempena ulang tahun ke-28 Reformasi, Mustapa turut menyeru seluruh sahabat Otai Reformis supaya tidak melupakan sejarah dan pengorbanan yang menjadi asas kepada gerakan tersebut.


"Lawan tetap lawan, terhadap kezaliman dan ketidakadilan, dengan ilmu, adab dan prinsip.


"Hidup Reformasi, maka hiduplah nilai keadilan," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page