top of page

KBKD 5.0 bentuk generasi muda bersih, berdisiplin, cintakan negara

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
4 hours ago
2 min read
David Cheong sentiasa bersama dalam program belia dan pelajar di DUN Kajang
David Cheong sentiasa bersama dalam program belia dan pelajar di DUN Kajang

Program Kajang Bersih, Kajang di Hatiku (KBKD) 5.0 bukan sekadar kempen membersihkan kawasan sekolah dan persekitaran, sebaliknya menjadi platform membentuk generasi muda yang bersih, berdisiplin, bertanggungjawab serta mempunyai semangat cintakan negara.


Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong berkata, program yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Bukit, Kajang yang berlangsung baru baru ini merupakan kesinambungan usaha membudayakan kebersihan, keselamatan, disiplin dan tanggungjawab sosial dalam kalangan generasi muda.


"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Timbaan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim atas kesudian hadir menyempurnakan perasmian penutupan program yang amat dekat di hati masyarakat Kajang ini.


"Kehadiran beliau telah memberikan suntikan semangat kepada para pelajar untuk tampil sebagai generasi yang aktif, berilmu, berdisiplin dan berdaya tahan.


"Sepanjang program berlangsung, para pelajar berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat serta mengunjungi tapak-tapak pameran yang disediakan oleh agensi dan rakan strategik," katanya dalam satu kenyataan.


Menurutnya, program itu turut memberi peluang kepada pelajar mendapatkan maklumat secara langsung menerusi pelbagai aktiviti dan pameran berkaitan kebersihan, keselamatan, kesihatan, pencegahan dadah, pendidikan, kemahiran dan pembangunan sahsiah.


Katanya, pengisian program bukan sahaja bertujuan menceriakan suasana, malah menyemai semangat patriotisme, keyakinan diri, kreativiti dan rasa cinta terhadap negara.


"Bacaan Ikrar Rukun Negara pula mengingatkan semua pihak tentang pentingnya perpaduan, kesopanan, kedaulatan undang-undang serta kehidupan yang harmoni dalam sebuah negara berbilang kaum," katanya.


Dalam semangat Bulan Kebangsaan, David berkata generasi muda perlu memahami bahawa kemerdekaan bukan sekadar kebebasan daripada penjajahan, sebaliknya turut merangkumi usaha membebaskan diri daripada perkara yang boleh merosakkan masa depan.


Beliau yang juga Pengerusi Biro Perpaduan Nasional Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Negeri Selangor menyeru golongan muda supaya bijak memilih pergaulan, mengutamakan ilmu dan disiplin serta menghormati kepelbagaian masyarakat Malaysia.


"Anak-anak muda harus berani memilih lingkungan pergaulan yang baik, mengisi kehidupan dengan ilmu dan disiplin serta menghormati kepelbagaian bangsa, agama dan budaya.


"Jangan sekadar bertanya tentang perkara yang boleh diberikan oleh negara kepada kita, tetapi tanyalah juga apakah sumbangan yang mampu kita berikan kepada negara," katanya.


Dalam pada itu, David berkata, kehadiran Adam Adli telah memberi suntikan semangat kepada pelajar untuk tampil sebagai generasi yang aktif, berilmu, berdisiplin dan berdaya tahan.


Majlis turut diserikan dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu Negeri Selangor, bacaan Ikrar Rukun Negara, persembahan murid serta tarian singa yang mencerminkan kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia.


KBKD 5.0 turut mendapat kerjasama pelbagai agensi dan rakan strategik termasuk Akademi Kenegaraan Malaysia, Majlis Perbandaran Kajang, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, Penjara Kajang, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Hulu Langat, KDEB Waste Management, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Universiti Selangor (UNISEL), Universiti Islam Selangor (UIS) dan Selangor Technical Skills Development Centre (STDC).

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page