Mansur & Liu bukti karya tempatan setanding produksi antarabangsa – Fahmi


Karya dan bakat tempatan berupaya menghasilkan pementasan bermutu tinggi serta berdiri setanding dengan produksi antarabangsa menerusi teater muzikal Mansur & Liu, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, karya arahan maestro muzik Datuk M Nasir itu yang mengangkat kisah Sultan Mansur Shah dan Puteri Liu daripada Sulalatus Salatin membuktikan keupayaan penggiat seni tempatan menghasilkan karya berkualiti.
"Malam tadi berkesempatan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan Teater Muzikal ‘Mansur & Liu’ di Istana Budaya.
"Karya arahan Datuk M Nasir yang mengangkat kisah Sultan Mansur Shah dan Puteri Liu daripada Sulalatus Salatin ini membuktikan bahawa karya dan bakat tempatan mampu menghasilkan pementasan bermutu tinggi dan berdiri setanding dengan produksi antarabangsa.
"Sebuah pementasan yang cukup membanggakan," katanya dalam muat naik di media sosial.
Ketua Penerangan KEADILAN itu turut merakamkan tahniah kepada M Nasir serta seluruh barisan pelakon dan tenaga produksi yang menjayakan pementasan berkenaan.
"Tahniah Datuk M Nasir serta seluruh barisan pelakon dan tenaga produksi ‘Mansur & Liu’.
"Pemerkasaan seni dan budaya juga sebahagian daripada pembangunan negara dan karya sebegini wajar terus diberikan ruang dan sokongan," katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Anwar menyifatkan pementasan teater muzikal Mansur & Liu sebagai antara pementasan terbaik pernah disaksikannya di negara ini.
Menurut Anwar, karya itu mampu berdiri setanding pementasan antarabangsa, sekali gus membuktikan keupayaan penggiat seni tempatan menghasilkan karya bermutu tinggi.
"Bila saya sebut pertumbuhan, pembangunan ekonomi, kita bicara tentang pemerkasaan budaya. Malam ini kita telah buktikan bahawa ada pementasan tempatan yang telah meningkat ke satu taraf yang boleh dibanggakan.
"Saya rasa antara pementasan terbaik yang saya lihat dalam negara dan setanding dengan negara-negara lain di dunia.
"Apa yang perlu adalah dokongan kerajaan dan juga pihak swasta supaya ada kemudahan tambahan," katanya dipetik Kosmo selepas menonton pementasan di Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Untuk rekod, dua dekad lalu, Anwar merupakan Menteri yang sering mengundang tokoh seni di sela sela mesyuarat atau aktiviti kementerian.
Antara yang sering diundang ketika itu itu adalah Datuk Seri A Samad Said dan WS Rendra, untuk membakan puisi masing masing kepada ahli ekonomi, pentadbir dan teknokrat.




Comments