Perutusan Anwar - Mahathir: Tiba masanya untuk kita bangkit semula!


Dua tahun lalu, tanggal 9 Mei 2018 merupakan detik keramat. Hampir 15 juta pengundi dari pelbagai kaum dari dalam negeri hingga ke seberang lautan, tanpa mengira kekangan hari bekerja, telah menzahirkan suara menolak rejim kleptokrasi BN dan memberi mandat kepada Pakatan Harapan (PH) untuk mentadbir negara. Bagi dua tokoh utama yang mencorak politik negara dalam dua dekad terakhir, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad, Mei 2018 adalah detik bersejarah ketika dunia menyaksikan Malaysia membentuk kerajaan baharu yang menjunjung undang-undang, nilai moral serta tanggungjawab. Menurut mereka, kerajaan PH sejak itu telah berusaha keras bagi meneguhkan demokrasi yang telah menjadi korban kerajaan BN selama enam dekad sebelumnya. "Dewan Rakyat diberi nafas baru. Reformasi institusi dan pentadbiran awam menjadi nadi utama. Agenda rakyat akhirnya jelas kelihatan. Anak muda menjadi tunjang. Negeri-negeri mula diberi perhatian saksama merentas fahaman politik. "9 Mei 2018 bukanlah satu peristiwa untuk memperingati penyatuan Mahathir - Anwar. Ia adalah peristiwa yang jelas mengangkat nasib dan masa hadapan rakyat serta melawan ketidakadilan dalam negara. Suara dan harapan rakyat tidak boleh ditutup dengan cerita-cerita dongeng dibuat oleh Kerajaan BN terdahulu. "Apabila PH memerintah, kami pastikan demokrasi itu subur. Jika rakyat bersuara, wakil rakyat harus sahut dan tiada seorang pun dihalang bersuara dengan alasan ‘tindakan undang-undang’. Kebebasan bersuara antara hadiah paling besar buat negara dua tahun lalu. "Rakyat sedar, bahawa tanggungjawab mentadbir negara adalah tanggungjawab bersama dan Ahli Parlimen hanyalah sekadar wadah yang membawa suara rakyat. Begitulah kuasa rakyat. Kami taat dan hormat," kata mereka dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini. Walaupun arus perubahan mengambil tempat, menurut Mahathir dan Anwar, rakyat terkilan apabila sebilangan usaha reformasi institusi, undang-undang dan ekonomi terbantut akibat usaha pihak tertentu yang mensabotaj kerajaan dari dalam. Akhirnya, mandat rakyat telah dikhianati dan Kerajaan PH jatuh pada hujung Februari, tatkala wabak Covid-19 mula melanda negara. "Kerajaan hari ini sanggup berbuat apa sahaja untuk mengumpul kuasa. Jawatan besar diagih, kuasa dan pangkat terus ditagih. Memahami situasi ini, kami tidak mengiktiraf kerajaan ini. Prinsip kami jelas dari hari pertama kerajaan ini tertubuh, iaitu ia berdiri tanpa mandat rakyat. "Ia tidak diperolehi secara sah menurut kertas undi. Ia didasari sikap tamak kepada pangkat dan jawatan semata-mata. Malah, tidak ada satu pun pemimpin kerajaan hari ini yang berjanji untuk berkhidmat kepada rakyat. "Kami tidak sanggup untuk menggadaikan moral dan etika untuk menyokong kerajaan hari ini. Kami tidak ingin mengkhianati rakyat yang menghabiskan berjam-jam beratur di pusat mengundi, beratus ringgit untuk terbang pulang mengundi, mengambil cuti tanpa gaji untuk membawa suara mengubah nasib negara," tambah mereka. Justeru itu, Anwar dan Mahathir bertekad akan mengembalikan maruah, mandat rakyat dan tidak mungkin mensia-siakan undi mereka. "Dua tahun lepas, rakyat dari perbagai agama dan bangsa telah membantu usaha kami dengan memberi derma, sumbangan, suara dan cadangan, harapan dan semangat hanya demi melihat perubahan yang lebih baik buat negara tercinta. "Dua tahun lepas, kami tidak berputus asa membawa suara rakyat. Hari ini juga sama. Kami telah lama menolak perbezaan, sengketa dan kemelut demi rakyat. Kami sudah berusia, masa kami sudah tidak lama. Namun semangat perjuangan kami masih marak dalam jiwa setiap anak muda yang mengimpikan reformasi. "Masanya telah tiba untuk kita bangkit semula dan berusaha mengembalikan mandat rakyat ke pihak yang sepatutnya," kata kenyataan itu lagi. Mengakhiri perutusan khas itu kedua-duanya menyerukan: 'Jangan sesekali kita lupa tarikh keramat 9 Mei 2018. Tarikh jatuhnya institusi kleptokrat. Tarikh kemenangan rakyat. Tarikh lahirnya Malaysia Baharu!'

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio