top of page

Peruntukan untuk rakyat, bukan Ahli Parlimen - PM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read
DS Anwar bersama ulama tempatan ketika menunaikan solat Jumaat di Masjid Ar-Rasyidin, Alor Gajah
DS Anwar bersama ulama tempatan ketika menunaikan solat Jumaat di Masjid Ar-Rasyidin, Alor Gajah

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan peruntukan kerajaan disalurkan terus kepada rakyat bagi memenuhi keperluan pembangunan dan kebajikan, bukannya kepada Ahli Parlimen.


Perdana Menteri berkata sebenarnya tiada isu sekatan peruntukan kepada mana-mana Ahli Parlimen kerana dana kerajaan sememangnya digunakan untuk membiayai projek yang memberi manfaat terus kepada rakyat.


"Peruntukan tidak semestinya diberi kepada Ahli Parlimen, (sebaliknya) peruntukan diberi terus kepada rakyat. Sejak bila kita kena beri kepada Ahli Parlimen?


"Kalau ada peruntukan RM2 juta, RM2 juta itu juga disalurkan kepada rakyat, sekolah, sekolah agama, masjid, pembaikan longkang dan pelbagai keperluan lain. Itu yang akan kita lakukan," katanya dipetik laporan media tempatan selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Ar-Rasyidin, Alor Gajah hari ini.


Anwar mengulas dakwaan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail bahawa pusat khidmatnya tidak lagi boleh mengakses sistem MyKhas yang digunakan bagi menguruskan peruntukan pembangunan kawasan.


Rodziah mendakwa perkembangan itu menjejaskan pengurusan pelbagai bantuan, program kemasyarakatan dan projek di bawah Projek Mesra Rakyat (PMR) yang sebelum ini memberi manfaat kepada penduduk Parlimen Ampang.


Bagaimanapun, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan kaedah menyalurkan peruntukan terus kepada rakyat bukanlah dasar baharu, malah telah lama diamalkan oleh kerajaan.


"Dasar itu sudah lama diguna pakai. Semua Ahli Parlimen pun tahu mengenainya dan sekarang mereka menentang, jadi kita salurkan terus kepada rakyat.


"Tidak ada sekatan. Yang penting, peruntukan itu untuk siapa? Untuk Ahli Parlimen atau untuk rakyat? Peruntukan itu mesti sampai kepada rakyat," katanya.


Sejak beberapa bulan lalu, beberapa Ahli Parlimen KEADILAN termasuk Lee Chean Chung (Petaling Jaya), Wong Chen (Subang) dan terbaru Rodziah dilaporkan tidak lagi mempunyai akses kepada sistem MyKhas.


Ketiga-tiga mereka sebelum ini menghadiri majlis pelancaran parti Bersama yang diasaskan bekas Timbalan Presiden KEADILAN Datuk Seri Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page