Peruntukan tambahan RM5 juta untuk pengurusan, penyelenggaraan Zoo Negara
- Suara Keadilan

- Jan 11
- 1 min read

Kerajaan MADANI meluluskan peruntukan tambahan berjumlah RM5 juta kepada Zoo Negara bertujuan memperkukuh pengurusan dan penyelenggaraan kawasan pusat konservasi itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan peruntukan berkata, hal itu sebagai mencerminkan iltizam serta tekad berterusan kerajaan untuk memastikan kebajikan haiwan, kemudahan awam, serta pengalaman pengunjung ke Zoo Negara terus diperkasa.
"Saya umumkan RM5 juta tahun lalu kerana prestasi Zoo Negara yang membanggakan sebagai tarikan pelancong dan lawatan pelajar sekolah bagi memberikan pendedahan agar lebih mesra alam.
"Tahun ini, saya luluskan RM5 juta lagi untuk pengurusan dan penyelenggaraan kawasan ini. Zoo Negara perlu terus dipelihara dan kekal sebagai ruang pendidikan dan riadah untuk keluarga, khususnya anak-anak kecil dan generasi penerus," katanya.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan hadir ke Majlis Pembukaan Rasmi Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP) Zoo Negara pada Sabtu.
Turut diperkenal pada acara itu ialah sepasang panda gergasi baharu, Chen Xing dan Xiao Yue yang tiba dari China pada 18 November tahun lalu.
Sementara itu Anwar dalam perkongsian di media sosialnya menekankan, usaha memelihara khazanah alam dan hidupan liar memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk kerajaan, pengurusan Zoo Negara, sektor swasta serta masyarakat, demi masa depan yang lestari.









Comments