top of page

Peruntukan segera RM10 juta bantu mangsa banjir Sabah - PM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 15
  • 1 min read

Banjir di Sabah turut mengakibatkan tanah runtuh. Foto ihsan Bernama
Banjir di Sabah turut mengakibatkan tanah runtuh. Foto ihsan Bernama

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita terhadap bencana banjir yang sedang melanda negeri Sabah pada waktu ini, sambil memberi jaminan bahawa Kerajaan MADANI akan menggerakkan segala jentera bagi memastikan rakyat yang terjejas menerima bantuan segera.


"Saya sangat terkesan akan dampak bencana banjir yang sedang melanda negeri Sabah saat ini.


"Saya telah mengarahkan seluruh jentera Kerajaan MADANI digerakkan dengan segera untuk membantu rakyat yang terjejas agar bantuan dapat sampai tanpa sebarang gangguan," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Perdana Menteri, keutamaan kerajaan adalah memastikan keselamatan, kebajikan, dan kelangsungan hidup mangsa banjir terjamin dengan sebaiknya.


Selain daripada peruntukan sebanyak RM11 juta yang telah disalurkan melalui kerajaan negeri, Anwar turut mengumumkan kelulusan dana tambahan sebanyak RM10 juta melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk disalurkan terus bagi pembaikan segera kemudahan asas serta keperluan mangsa terkesan.


"Kerajaan MADANI akan memastikan setiap keluarga yang terkesan untuk segera menerima bantuan," tegas beliau.


Pada masa sama, Anwar turut menyeru semua pihak untuk bersatu dan menzahirkan semangat kebersamaan dalam menghadapi bencana ini.


"Saya menyeru semua pihak bersatu dan berpadu tenaga serta mengutamakan semangat ihsan demi membantu rakyat seluruhnya. Zahirkan semangat kebersamaan dan kepedulian serta tanggungjawab bersama dalam menempuh ujian dahsyat ini," katanya lagi.


Sehingga pagi tadi, seramai 415 mangsa banjir daripada 113 keluarga masih berada di dua pusat pemindahan sementara (PPS) dan sebuah Pusat Pemindahan Kekal (PPK) di Sabah.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page