top of page

Peruntukan RMK-13 berdasarkan keperluan, bukan kaum - Anwar

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 25
  • 2 min read

PM Anwar komited laksanakan pembangunan yang adil dan saksama melalui RMK-13
PM Anwar komited laksanakan pembangunan yang adil dan saksama melalui RMK-13

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan jumlah peruntukan untuk sesuatu kaum tidak harus dijadikan polemik kerana kerajaan komited melaksanakan pembangunan secara adil dan saksama melalui Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13).


Membentangkan usul RMK-13 di Dewan Negara, beliau berkata setiap masyarakat termasuk Melayu, Cina, India, bumiputera Sabah dan Sarawak, Orang Asli, wanita, orang kurang upaya dan belia akan menerima manfaat berdasarkan keperluan, bukan latar kaum.


"Jangan pertikai apabila sesuatu kaum menerima manfaat lebih tinggi.


"Itu berdasarkan keperluan, bukan kaum. Orang Melayu majoriti di negara ini, dan yang miskin majoritinya juga Melayu. Maka sebab itu kita berikan tumpuan," katanya.


Anwar turut mendedahkan hampir 57% penerima STR dan SARA adalah Melayu, Bumiputera Sabah (7.57%) dan Sarawak (6.23%), manakala masyarakat India menerima bantuan melalui pelbagai skim berjumlah RM972 juta serta jaminan perumahan RM2.5 bilion.


RMK-13 menggariskan sembilan prakarsa utama termasuk pemerkasaan sosial berteraskan insan MADANI, menangani kos sara hidup, pemerataan agihan ekonomi, pemulihan pendidikan dan perumahan rakyat, pembangunan wilayah/desa, industri pertumbuhan tinggi (HGHV), penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta perkhidmatan kerajaan yang telus dan tangkas.


Rancangan lima tahun itu juga memberi penekanan kepada pemerkasaan ketersambungan serantau seperti Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), Grid Kuasa ASEAN, ASEAN Connectivity by Rail dan inisiatif tenaga bersih AZEC.


Antara projek utama lain ialah Lebuh Raya Pan Borneo, RTS Link Johor-Singapura dan naik taraf kompleks CIQ Bukit Kayu Hitam.


RMK-13 turut menyasarkan pertumbuhan KDNK purata 4.5–5.5% setahun, defisit fiskal di bawah 3% dan pelaburan swasta RM417.9 bilion setahun secara nominal menjelang 2030.


"Saya tidak mahu RMK-13 sekadar menjadi dokumen perancangan. Ia mesti menjadi pelan tindakan berkesan dan telus yang benar-benar memberi impak kepada rakyat," tegas Anwar.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page