top of page

Peruntukan RM6 bilion, mana Menteri Pengangkutan, Stesen Komuter Sg Petani terabai?



Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir. Dr Wee Ka Siong dipersoalkan berikutan beberapa kelemahan pengangkutan awam yang berterusan di negara ini.


Bagi Ketua Angkatan Muda KEADILAN Kedah, Mohammed Firdaus Johari, keberadaan Wee di Kementerian Pengangkutan dipertikaikan berikutan prestasi pengangkutan awam kendalian Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang sering dilanda masalah dan tidak memuaskan hati rakyat.


Katanya, isu kelemahan stesen keretapi khususnya di Sungai Petani, Kedah telah berlarukan sejak sekian lama. Sehinggakan lif rosak, tidak diperbaiki sejak 6 bulan lalu sudah menjadi lumrah rakyat yang menggunakan perkhidmatan di stesen berkenaan.


"Kebanyakan fasiliti pengangkutan awam di stesen komuter kendalian KTMB di bawah paras ketidakpuasan hati pengguna. Untuk makluman, purata pengguna yang menggunakan perkhidmatan KTMB mencecah hampir 600,000 orang setiap bulan.


"Setiap hari banyak rungutan daripada pengguna mengenai pelbagai masalah sama ada dari segi teknikal atau pun melibatkan isu fasiliti.

Walaupun ribuan aduan sudah dibuat, namun isu tetap tidak dapat diselesaikan dan masih “ditakuk lama”


"Saya bawakan isu berkaitan kelemahan fasiliti KTMB di Stesen Komuter Sungai Petani, Kedah. Lif di stesen berkenaan rosak dan tidak berfungsi sejak bulan November 2020 hingga sekarang. Alasan yang diberikan kerana ketiadaan alat ganti (spare part). Agak hairan dan pelik sudah 6 bulan berlalu namun lif ini masih tidak dapat diperbaiki. Dimanakah logiknya?


"Tempoh 6 bulan agak panjang, tidak wajar pihak kontraktor penyelenggaraan lif memberi pelbagai alasan untuk tidak membaik pulih lif yang rosak itu," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Firdaus lagi, KTMB Sektor Utara mula beroperasi seawal jam 5.00 pagi dan berakhir pada jam 10.45 malam dan bukan sahaja melibatkan perkhidmatan ETS tetapi Komuter Sektor Utara.


Katanya, ribuan pengguna harian yang menggunakan perkhidmatan KTMB terutamanya melalui Sektor Utara akan menggunakan fasiliti di Stesen Komuter Sungai Petani. Keadaan lif yang tidak berfungsi menyukar dan menyusahkan pengguna terutamanya golongan warga tua dan orang kurang upaya (OKU).


Begitu juga rekabentuk stesen, golongan warga emas kata Firdaus menerima beban akibat ketidakcekapan fungsi fasiliti di Stesen Komuter berkenaan. Warga emas terpaksa “mendaki” dan menaiki anak tangga yang boleh dikatakan agak tinggi serta bercerun.


"Kebanyakan warga emas seperti yang diketahui mempunyai penyakit kronik seperti penyakit jantung, asma serta darah tinggi dan keadaan ini amat membahayakan jika mereka terpaksa menggunakan tangga.


"Oleh itu, amatlah penting untuk pihak KTMB di Stesen Komuter Sungai Petani segera memperbaiki dan membaik pulih lif yang rosak agar dapat berfungsi dengan baik supaya golongan yang berisiko dan memerlukan ini dapat menggunakan fasiliti dengan senang sekaligus dapat menggembirakan hati mereka," katanya.


Kemudahan fasiliti yang lemah, kata Firdaus, tidak hanya berlaku di Stesen Sungai Petani bahkan boleh dikatakan berlaku di kebanyakan stesen komuter lain.


Sedangkan menurut beliau, Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam Belanjawan 2021 telah menerima peruntukan berjumlah RM 6.05 bilion, iaitu kenaikan sebanyak hampir 70 peratus berbanding Belanjawan 2020 tetapi persoalannya ke manakah pergi peruntukan tersebut?


"Mengapakah tidak digunakan bajet sebesar itu untuk memperbaiki fasiliti di stesen-stesen komuter yang mengalami masalah dan senasib dengan Stesen Komuter Sungai Petani?


"Kementerian Pengangkutan (MOT), Menteri Pengangkutan dan KTMB sepatutnya menteladani negara Jepun yang fasiliti perkhidmatan pengangkutan awam mereka cukup baik. Usahlah kita “mendabik dada” dan megah mengatakan pengangkutan awam Malaysia berada pada tahap baik jika isu kemudahan fasiliti pun gagal untuk ditangani dan diselesaikan.


"Menteri Pengangkutan menerima gaji puluhan ribu setiap bulan tetapi kecaknaan dan keprihatinan terhadap pengangkutan awam tidak diendahkan malahan segala kelemahan yang ada juga tidak cuba untuk diperbaiki dan ditambah baik. Tugas Menteri adalah bekerja untuk rakyat bukannya “duduk goyang kaki” menunggu gaji masuk tanpa berbuat apa-apa untuk keselesaan pengguna," katanya lagi.


Sehubungan itu, beliau menyarankan agar pihak KTMB dan Kementerian Pengangkutan memberikan diskaun tambang kepada pengguna sehingga kerosakan kemudahan fasiliti dapat ditangani dan diperbaiki.


Katanya, tidak wajar pengguna membayar harga “penuh” tetapi tidak dapat menggunakan fasiliti. Pihak KTMB juga perlu mengambil langkah menempatkan beberapa orang pegawai khusus yang bertanggungjawab untuk membantu golongan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan mereka yang memerlukan seandainya fasiliti di sesebuah stesen rosak.


Firdaus juga mencadangkan satu pasukan khas audit penyelenggaraan ditubuhkan bagi menangani segera isu permasalahan kerosakan kemudahan fasiliti pengangkutan awam terutamanya yang melibatkan perkhidmatan KTMB. Pasukan audit tersebut perlu bergerak secara proaktif supaya segala punca masalah dapat dikesan dan penyelesaian segera dapat dilakukan.





0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page