top of page

Peruntukan pulangan balik cukai ditambah kepada RM4 bilion - PM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Dec 7, 2025
  • 2 min read
DS Anwar menyampaikan manfaat skim insuranskesejahteraan rakyat di Program Rancakkan MADANI
DS Anwar menyampaikan manfaat skim insuranskesejahteraan rakyat di Program Rancakkan MADANI

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak akan sama sekali “berhutang dengan rakyat” dalam soal pembayaran balik lebihan kutipan cukai, khususnya melibatkan peniaga kecil yang sering berdepan isu kelewatan pemulangan.


Menurut beliau, banyak peniaga kecil menyuarakan keresahan apabila bayaran kutipan cukai dibuat dengan cepat tetapi proses pulangan lebihan mengambil masa lama.


"Dalam kalangan peniaga kecil ada keresahan, bila dibayar cepat. Dia takut kalau tak bayar. Sudah bayar, dibuat kiraan terlebih, bayar balik ditangguhkan.


"Saya fikir munasabah, kerajaan tidak mahu berhutang. Pada prinsipnya tidak boleh berhutang dengan rakyat," kata Perdana Menteri dalam dalam ucapan Majlis Perasmian Penutupan Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku di Dataran Putrajaya, hari ini.


Beliau memaklumkan bahawa kerajaan sebelum ini telah menetapkan bahawa tiada kelewatan dibenarkan untuk pembayaran balik tersebut, dan kini mengambil langkah tambahan dengan meningkatkan peruntukan daripada RM2 bilion diumumkan sebelum ini kepada RM4 bilion, sekali gus mempercepatkan proses pengagihan mulai Disember 2025.


Dalam nada optimis, Perdana Menteri juga menyentuh prestasi ekonomi negara yang kekal kukuh meskipun Malaysia adalah negara bersaiz sederhana dengan penduduk sekitar 34 juta namun komulatif perdagangan sangat baik.


"Ini Malaysia negara sederhana, penduduk 34 juta tetapi komulatif perdagangan mencecah RM2.235 trilion… mencatat pertumbuhan yang sangat mengkagumkan dan membanggakan," katanya.


Beliau turut menegaskan bahawa kerangka Malaysia MADANI memberi penekanan kepada pembangunan seimbang agar tiada kelompok dalam masyarakat yang tercicir.


"Sebab itu dalam semua program kampung angkat, sekolah angkat Sejati Madani — mereka pantau secara langsung. Itu diiktiraf di dunia sekarang dari sudut kejayaan menoktahkan kemiskinan tegar," jelas beliau.


Malaysia, kata Anwar, mencatat kadar kemiskinan tegar hanya 0.09 peratus, jauh lebih rendah berbanding negara-negara maju tertentu. Kadar pengangguran juga kekal rendah pada sekitar 3 peratus setakat September 2025.


Perdana Menteri sekali lagi menegaskan bahawa fokus kerajaan adalah memastikan kesejahteraan rakyat, meningkatkan keyakinan ekonomi dan memastikan setiap dasar MADANI dirasai masyarakat secara menyeluruh.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page