Caj tapak Bazar Ramadan KL diturunkan RM100, ringan beban peniaga
- Suara Keadilan

- 21 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menurunkan kadar caj tapak Bazar Ramadan bagi tahun 2026 sebanyak RM100 selaras dengan usaha Kerajaan MADANI untuk meringankan beban kewangan peniaga kecil serta memperkemas tadbir urus pengurusan bazar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, kadar caj maksimum yang ditetapkan bagi tapak Bazar Ramadan di bawah seliaan DBKL adalah RM400, berbanding RM500 pada tahun lalu.
"Langkah ini diambil bagi memastikan peniaga kecil tidak dibebankan dengan kos yang tidak munasabah, selain menjamin kebajikan mereka terus terpelihara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pengurangan kadar caj tersebut turut diwajibkan ke atas persatuan peniaga yang mengendalikan tapak bazar, bagi mengelakkan sebarang caj tambahan dikenakan kepada peniaga.
Dalam pada itu, Hannah menjelaskan bahawa pengurusan Bazar Ramadan 2026 akan dilaksanakan menerusi model hibrid, dengan DBKL kekal bertanggungjawab terhadap kawal selia, pelesenan dan penguatkuasaan manakala persatuan peniaga menguruskan operasi harian di tapak bazar.
Katanya pendekatan itu dibuat hasil penilaian serta post-mortem pelaksanaan bazar sebelum ini yang mendapati wujud beberapa kelemahan termasuk isu penafian hak peniaga berlesen sedia ada akibat proses undian terbuka selain ketidakpuasan hati dalam kalangan ahli persatuan peniaga.
"Kerajaan mengambil pendekatan lebih tersusun, telus dan adil bagi memastikan kepentingan peniaga dan pengguna sentiasa diutamakan," katanya.
Bagi tahun ini, penganjuran Bazar Ramadan di Kuala Lumpur melibatkan 41 lokasi tapak niaga, dengan sembilan lokasi di bawah seliaan DBKL manakala 32 lokasi dikendalikan oleh persatuan peniaga.
Antara persatuan utama yang terlibat ialah Pertubuhan Pasar Malam Kuala Lumpur (PMKL), Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan serta Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Hannah turut menegaskan sebarang amalan sublet, jual beli tapak atau pengambilan keuntungan berlebihan adalah dilarang sama sekali dan tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan.
"Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyelewengan, termasuk yang melibatkan penganjur sendiri," kata beliau.









Comments