top of page

Peruntukan pembangunan: Tiada negeri dipinggirkan, dana ditambah - PM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 28
  • 2 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI, peruntukan kepada negeri-negeri tidak dipinggirkan, sebaliknya ditambah mengikut keperluan semasa.


Beliau berkata, dalam kerangka Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030), kerajaan telah memberikan keutamaan terhadap beberapa projek dan ia selari dengan Pelan Strategik Semikonduktor seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).


Namun tegas Anwar, ia tidak bermakna beberapa pembangunan di negeri-negeri lain dipinggirkan.


''Umpamanya Sabah kalau kita lihat, tahun 2022 ketimbang 2025 untuk perbelanjaan pembangunan iaitu peningkatan agak mendadak dari RM5.2 bilion naik kepada RM6.7 bilion.


''Sarawak dari RM4.7 (2022) kepada RM5.9 bilion, Terengganu daripada RM1.4 bilion naik kepada RM1.8 bilion. Kelantan RM2.4 bilion kepada RM3.2 bilion.


''Kedah dari RM1.6 bilion kepada RM2.2 bilion dan Perlis dari RM0.4 bilion kepada RM0.6 bilion,'' katanya ketika Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang ingin tahu sama ada perancangan projek pembangunaninfrastruktur oleh Kerajaan Persekutuan hanya tertumpu kepada negeri-negeri tertentu dan meminggirkan sebahagian yang lain sebagai contoh projek E-ART Wilayah Iskandar Johor dan Projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang dan sebagainya.


Tambah Anwar yang juga Menteri Kewangan, peruntukan bagi Sabah dan Sarawak berdasarkan pakej pembangunan lebuh raya tentunya melibatkan jumlah yang besar.


''Umpamanya Lebuhraya Pan Borneo (LPB) di Sabah kosnya adalah RM15.9 bilion, untuk Sabah-Sarawak Link Road pula itu hampir RM10 bilion.


''Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang melibatkan Pahang, Terengganu, Kelantan dan sebahagian Selangor itu jumlah keseluruhan RM74.96 bilion.


''Ini tidak termasuk Lebuhraya Central Spine Road melibatkan Pahang, Terengganu dan Kelantan yang kosnya RM6.38 bilion,'' jelas beliau lagi.


Dalam pada itu, Anwar menyifatkan penjelasannya bertujuan untuk menunjukkan bahawa di bawah Kerajaan MADANI, peruntukan yang diberikan berdasarkan keperluan, bukan dipinggirkan, malah ditambah.


Katanya, penjelasan seperti itu diperlukan bagi menolak sebahagian tanggapan yang mendakwa wujudnya peminggiran, seperti yang sering ditohmahkan sebelum ini.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page