
Oleh: Abdullah Zaid
Peruntukan bagi Ahli Parlimen pembangkang boleh disediakan oleh kerajaan dengan syarat mereka berbincang dan mengusulkan bentuk kegunaan peruntukan berkenaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH - Tambun) berkata pihak pembangkang perlu bekerjasama dan datang berbincang serta tidak bersikap sombong supaya peruntukan tersebut dapat direalisasikan.
Menurut PM, beliau yang pernah menjadi Ketua Pembangkang pada era PM Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika itu mengadakan perjanjian memorandum kerjasama dan kemudian beberapa siri perbincangan bagi mencapai kesepatan, sebelum peruntukan Ahli Prlimen dibayar oleh pihak kerajaan.
"Runding setuju kita luluskan, kalau tak, sampai bila-bila pun kita tak luluskan.
"Runding jangan sombong dan angkuh, tuntut (peruntukan)," katanya.
Beliau berkata demikian dalam penggulungan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-12 di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebagai rekod, pada 8 Mei lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof meminta blok pembangkang mengemukakan cadangan kepada kerajaan berhubung jumlah peruntukan yang diperlukan oleh mereka.
Fadhilah yang ditugaskan untuk mengadakan sesi perbincangan tersebut sebelum ini menjelaskan bahawa kerajaan hanya mahu pembangkang mengemukakan tawaran rasmi dalam urusan tersebut bagi mencapai persetujuan bersama.
Difahamkan sekiranya persetujuan dicapai antara kedua belah pihak maka setiap Ahli Parlimen pembangkang boleh memperolehi sehingga RM3 juta peruntukan dalam setahun.