
Usul untuk memotong RM45 juta daripada peruntukan berjumlah RM85.5 juta untuk Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) diluluskan secara undian suara di Parlimen.
Usul terhadap Jasa yang kini dikenali sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) dikemukakan oleh Timbalan Menteri Kewangan I, Abd Rahim Bakri untuk meminda jumlah peruntukan dalam Belanjawan 2021.
"Penolakan usul ini akan menyebabkan jumlah yang diluluskan kembali kepada jumlah yang asal iaitu RM85.5 juta.
“Oleh sebab itu sokongan ahli Yang Berhormat adalah sangat penting bagi membolehkan penubuhan J-Kom dengan perbelanjaan yang 'cost-effective' dengan RM45.5 juta,” katanya di Dewan Rakyat.
Pembangkang bagaimanapun tetap tidak berpuas hati dan mengemukakan satu lagi usul iaitu memotong keseluruhan peruntukan asal RM85.5 juta.
Usul itu dikemukakan oleh Ahli Parlimen Tuaran, Wilfred Madius Tangau, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dan Ahli Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir.
Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh menganggap pemotongan peruntukan sahaja tidak memadai.
"Di bawah Jabatan Penerangan, kita sudah ada Komuniti 1Malaysia, dalam Pakatan Harapan (PH) juga ada Komuniti Harapan, kemudian Komuniti Bestari dan Komuniti Prihatin, ini semua untuk komuniti.
"Kenapa perlu diwujudkan satu lagi jabatan kalau ianya tidak untuk jalankan aktiviti politik, propaganda kerajaan," katanya.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mempersoalkan sama ada kewujudan Jasa mendapat sokongan semua ahli parlimen kerajaan atau didesak oleh sesetengah pihak.
"Adakah wujud kepercayaan di kalangan sesetengah parti untuk melaksanakan apa yang disebut, atau terpaksa lakukan langkah di Perak sehingga menimbulkan kacau bilau dan teguran keras dari Sultan.
"Maka saya nasihatkan, walaupun amaun dikurangkan, adakah ia juga akan ditepati atau dikhianati. Awas, budaya itu telah menular dan telah berakar dalam sesetengah parti di sebelah sana," katanya.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah kemudian menyatakan bahawa penubuhan J-Kom akan membela nasib kakitangan Jasa yang telah dibuang “dengan kejam dan zalim” semasa zaman pentadbiran PH.
Kenyataannya mengundang kemarahan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang menganggap Saifuddin hilang ingatan sedangkan beliau merupakan menteri dalam kerajaan PH sebelum ini.
Saifuddin juga seolah-olah mengejek Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang mengatakan bekas timbalan menteri wanita itu merupakan salah satu sebab mengapa kerajaan PH tidak bertahan lama.
Kenyataan Saifuddin dibidas oleh Ahli Parlimen Pulai, Salahuddin Ayub dan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo.
“Bila kita sama-sama dalam kabinet dahulu, kita bertanggungjawab bersama. Nak lari larilah, nak pergi, pergilah, saya tak marah. Tapi jangan hina sahabat saya dari Segambut.
“Kalau lemah PH pasa masa kami, kamu hari ini jauh lebih lemah,” kata Salahuddin.
Usul untuk memotong keseluruhan peruntukan RM85.5 juta bagaimanapun tidak dipersetujui menerusi undian suara majoriti ahli parlimen.