Pertumbuhan ekonomi 7.5% 2021: Unjuran Menteri Kewangan tidak realistik - AMK



Sasaran pertumbuhan ekonomi yang diunjur oleh Menteri Kewangan sebanyak 7.5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2021 terlalu tinggi dan mungkin bersifat kosmetik.


Bagi Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir, Menteri Kewangan sebelum ini telah pun tersasar daripada realiti apabila mengunjurkan pertumbuhan ekonomi pada 2020 sekitar - 4.5, sedangkan faktanya penyusutan yang diumumkan sebanyak - 5.6%


"Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat begitu terdesak dalam memaparkan imej baik mereka kepada rakyat walaupun ia sama sekali tidak menggambarkan realiti sebenar terhadap apa yang berlaku mutakhir ini.


"Terbaru, Menteri Kewangan sekali lagi mengeluarkan kenyataan berhubung peratusan KDNK yang dijangka berkembang hebat sekitar 6.0 – 7.5 % bagi tahun 2021, walaupun banyak pandangan-pandangan lain yang menyangkal unjuran tersebut," kata Akmal dalam satu kenyataan.


Ketua Angkatan Muda KEADILAN itu, mengingatkan banyak teguran dan nasihat telah diberikan menyangkal unjuran Menteri Kewangan berkenaan pertumbuhan KDNK 2020 lalu, antaranya oleh Ketua Pembangkang supaya angka -4.5 % itu diteliti kembali.


Kenyataan itu turut disokong unjuran yang dikemukakan oleh organisasi antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa atau IMF (-5.8 peratus), Bank Dunia (-5.8 peratus) dan Bank Pembangunan Asia (-6.0 peratus).


Namun, kata Akmal, teguran dan nasihat oleh Ketua Pembangkang serta pakar-pakar ekonomi dipandang sepi oleh Menteri Kewangan dan Kerajaan PN. Kini, sekali lagi dengan angkuh menteri membentangkan kepada rakyat angka yang masih lagi menjadi pertikaian iaitu dengan unjuran KDNK pada kadar 6.0 – 7.5 peratus.


"Menyingkap kondisi semasa ekonomi negara yang tidak menentu dengan merujuk kepada beberapa faktor seperti pelaburan langsung asing yang terjejas teruk, kadar pengangguran yang menghampiri 700,000, serta nisbah bebanan hutang isi rumah yang menganjak hingga 93.3 % kepada KDNK, turut menambahkan lagi keraguan terhadap unjuran Menteri Kewangan.


"Sebelum ini inflasi yang diunjurkan menguncup oleh kerajaan PN pada tahun 2021 juga meleset apabila inflasi terkini dijangka melepasi paras 5 % pada suku kedua nanti.


"Ini sudah pasti mencalarkan kredibiliti Menteri Kewangan yang dilihat tidak cekap menguruskan kewangan negara ditambah dengan kegagalan kerajaan untuk membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang telah meletakkan negara dalam dilema luar biasa dari sudut pengurusan ekonomi dan kewangan.


"Secara realistiknya, penyusutan KDNK - 5.6% pada tahun 2020 ditambah dengan kondisi semasa ekonomi negara tidak memungkinkan suatu lonjakan luar biasa KDNK pada tahun 2021," katanya lagi.


Oleh itu, Akmal menyeru agar kerajaan meneliti dan mengkaji kembali angka-angka yang dilihat tidak lebih dari sekadar “alat solek” bagi mencantikkan imej kerajaan walaupun hakikatnya Malaysia sedang berada dalam krisis ekonomi yang begitu membimbangkan.


Menurut beliau, sindrom penafian perlu dihentikan dan perlu diambil sikap lebih jujur, prihatin serta bertanggungjawab dalam menyalurkan informasi kepada rakyat yang berhak mengetahui hakikat sebenarnya ekonomi negara.




0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER