top of page

Pertukaran MB Perlis: Persefahaman politik PN gagal - Dr Mujahid

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 9 minutes ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Krisis politik yang meletus di Perlis baru-baru ini, bukan sekadar krisis kepimpinan negeri tetapi cerminan jelas kegagalan sebuah pakatan politik - Perikatan Nasional - mengurus kuasa, tekanan dan tanggungjawab pentadbiran, kata Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar).


Timbalan Presiden AMANAH itu berpandangan, terdapat beberapa faktor yang boleh dikongsi berhubung kemelut politik yang berlaku di negeri utara tanah air itu.


"Pertama, bagaimana seorang Menteri Besar tertekan dengan desakan-desakan? Kalau benar apa yang disebut oleh Presiden Pas (iaitu) desakan-desakan terhadap projek, adanya tekanan-tekanan untuk melaksanakan projek yang seolah-olah tak dapat ditolak oleh Menteri Besar (Mohd Shukri Ramli) dan kerana tak tahan dengan tekanan ini, maka beliau (Mohd Shukri) telah meletakkan jawatan.


"Tapi ini membawa kita kepada satu persoalan yang lebih utama iaitu bagaimana kemampuan seorang Menteri Besar yang sepatutnya mengawal keadaan tetapi bukannya yang tertekan dengan keadaan.


"Dari sudut kemampuan perlu ada visi dan misi yang jelas tentang pentadbiran. Inilah yang paling penting berbanding retorik-retorik seperti Islam adalah penyelesaian, membangun bersama Islam. Kalau lah Pas mendakwa mereka sebagai sebuah parti politik Islam, (situasi) ini melambangkan kelemahan dan kegagalan.


"Kerana akhirnya siasah syariah itu bukan untuk menyatakan kita membela Islam, kita melaksanakan Islam, tetapi bagaimana pelaksanaan, keadilan, pentadbiran, kekuatan, moral dan juga dapat mengawal keadaan. Itulah yang dikira sebagai siasah syariah, bukannya retorik kosong," katanya dalam satu siaran video.


Dalam video sama, mantan Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, faktor kedua adalah analisa berkaitan pakatan politik dalam Perikatan Nasional (PN) yang disifatkan sebagai pakatan yang struktural dan bukan berlandaskan ideologikal.


"Contohnya Pakatan Harapan (PH) ia (gabungan) yang ada logika iaitu bercakap tentang reformasi dan keperluan untuk membaiki keadaan negara berbanding dengan sekadar satu pakatan biasa.


"Begitu juga dengan Barisan Nasional (BN) kita melihat bahawa pakatan itu adalah pakatan yang bersandarkan kepada konsep perpaduan di mana perpaduan itu menentukan hala tuju gabungan.


"Tapi nampaknya 'kelonggaran' PN ini telah melambangkan betapa persefahaman politik secara struktural itu gagal membawa satu misi besar yang ditunggu-tunggu oleh rakyat," ujarnya lagi.


Untuk rekod, Perikatan Nasional Perlis menghadapi kemelut politik apabila ADUN Bersatu dan segelintir dari Pas membuat Akuan Berkanun hilang keyakinan kepada Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.


Tindakan itu membawa kepada pelantikan Pengerusi Bersatu Negeri Perlis dan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis, Abu Bakar Hamzah sebagai MB Perlis baharu yang mengangkat sumpah pada 28 Disember lalu.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page