
Pertubuhan Daie Madani Malaysia yang dilancarkan semalam akan berusaha untuk memberi penjelasan kepada umat Islam Malaysia mengenai konsep Malaysia Madani secara tepat dan moderat.
Menurut pegawai kanan Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Mohd Hisyamuddin Ghazali, pertubuhan yang dilancarkan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub itu menghimpunkan para pendakwah yang akan merungkai kekeliruan dalam masyarakat ditanam oleh parti politik tertentu sehingga terdapat golongan yang berfikiran ekstrem dan sanggup menolak keimanan umat Islam yang tidak sehaluan.
"Program yang diadakan pada 3 hingga 4 Jun 2023 ini adalah kerjasama antara J-KOM dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) bersama dengan Pertubuhan Daie Madani.
"Penganjuran program ini bertujuan untuk membantu kerajaan mempromosikan dan membumikan konsep Malaysia Madani di segenap lapisan rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang dikenali sebagai Syam Ghaz itu berharap program tersebut dapat membantu membina sikap masyarakat yang berteraskan fakta dan ilmu agama Islam yang luas serta penuh rahmah.
Comentarios