Pertubuhan bukan kerajaan mahu reformasi institusi dipercepatkan
- Suara Keadilan

- 3 days ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Sebanyak 64 badan bukan kerajaan (NGO) menggesa Kerajaan Madani mengambil langkah berani mempercepatkan reformasi institusi sepanjang tahun ini memandangkan tempoh Parlimen ke-15 kini berbaki kurang daripada 24 bulan sebelum tamat penggal pada Disember 2027.
Dalam satu kenyataan bersama, gabungan NGO itu menegaskan tahun ini merupakan tempoh kritikal bagi memastikan agenda reformasi tidak terus tertangguh akibat sentimen populis serta eksploitasi isu etno-agama yang sering dijadikan alasan untuk melemahkan perubahan institusi.
"Kegagalan melaksanakan reformasi bukan sahaja akan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap parti dan pemimpin yang sedang berkuasa, malah akan mewariskan beban yang lebih berat kepada kerajaan pada masa hadapan," menurut kenyataan itu.
Menurut mereka, pendekatan rundingan tertutup antara kerajaan dan pihak berkepentingan tidak lagi mencukupi dalam era media sosial yang sarat dengan serangan populis dan maklumat mengelirukan termasuk dari luar negara.
Sebaliknya, kata pertubuhan berkenaan kerajaan disaran melibatkan rakyat secara terbuka serta menggalakkan dialog antara penyokong, penentang dan pihak berkecuali dalam isu reformasi.
Sehubungan itu, NGO terbabit mencadangkan Kertas Hijau, Kertas Putih dan Jawatankuasa Pilihan Parlimen bagi membolehkan perbincangan awam dan rentas parti dijalankan secara telus sebelum sebarang rang undang-undang dibentangkan.
Antara reformasi utama yang dicadangkan untuk diteliti melalui Jawatankuasa Pilihan Parlimen termasuk pengenalan had penggal 10 tahun bagi jawatan Perdana Menteri, reformasi Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan pengawasan Parlimen serta penstrukturan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan.
Bagi reformasi yang memerlukan perbincangan awam lebih meluas, kerajaan digesa membentangkan Kertas Putih, antaranya berkaitan pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta penggubalan Akta Pembiayaan Politik yang merangkumi pembiayaan awam.
Selain itu, Kertas Hijau turut dicadangkan bagi isu-isu yang masih belum mencapai kesepakatan nasional, termasuk kemudahan pengundian tidak hadir, penambahan kerusi Parlimen, pengagihan saksama Dana Pembangunan Kawasan (CDF), peningkatan perwakilan wanita dalam badan perundangan serta pembentukan kerajaan pilihan raya bagi Wilayah Persekutuan.
Walaupun begitu, gabungan NGO tersebut turut merakamkan penghargaan terhadap beberapa pencapaian reformasi Kerajaan Madani sejak November 2022, termasuk pemansuhan hukuman mati mandatori, pengenalan Akta Tanggungjawab Fiskal, penubuhan Majlis Media Malaysia serta pengukuhan jawatankuasa pilihan Parlimen.
"Kertas Hijau dan Kertas Putih membolehkan kerajaan menggerakkan reformasi tanpa memaksakan penyelesaian sebaliknya membina konsensus nasional yang lebih kukuh dan mampan," jelas kenyataan itu.
Kenyataan bersama itu disokong oleh pelbagai pertubuhan masyarakat sivil, termasuk Project Stability and Accountability for Malaysia (Projek SAMA), Bersih, ABIM, AWAM, CIJ, HAKAM serta beberapa organisasi belia, wanita dan hak asasi dari seluruh negara.









Comments