Kerajaan digesa mempertimbangkan semula keputusan untuk membatalkan wang pinjaman bernilai RM2 bilion kepada kerajaan Pulau Pinang untuk membiayai projek Transit Aliran Ringan (LRT) di negeri itu.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, tindakan itu akan menjejaskan pembinaan projek LRT yang amat diperlukan oleh rakyat Pulau Pinang ketika ini.
"Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak meminta satu sen pun daripada Kerajaan Persekutuan untuk menjayakan projek ini. Kerajaan negeri yang mempunyai simpanan terkumpul RM1.07 bilion, mampu membayar balik pinjaman projek LRT ini.
"Jaminan pinjaman persekutuan itu adalah tindakan paling mudah yang boleh dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan untuk membantu pembangunan negeri Pulau Pinang.
"Pada ketika Malaysia memerlukan perbelanjaan kerajaan (Government spending) untuk memacukan ekonomi, keputusan kurang bijak MOF akan membantut dan melambatkan pembinaan projek LRT selama 5 hingga 6 tahun," katanya dalam sidang media di Parlimen.
Beliau juga berpandangan tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan melemahkan lagi keyakinan para pelabur ke negeri Pulau Pinang, terutamanya sektor pembuatan dan sektor elektrikal dan elektronik.
"Jalur LRT Fasa 1 di Pulau Pinang dijangka akan bermula dari George Town hingga ke Lapangan Antarabangsa Bayan Lepas akan melalui Zon Perdagangan Bebas Fasa 3 dan 4, Bayan Baru. Zon ini adalah hub sektor pembuatan terutama sektor Elektrikal dan Elektronik.
"Sektor elektrik dan elekrtronik dari Pulau Pinang ini menyumbangkan RM 40.5 bilion kepada KDNK negara dan RM380 bilion eksport di mana majoriti dari Pulau Pinang.
"Pembinaan LRT ini pasti akan menjadi daya tarikan kepada pelabur asing. Infrastruktur yang bertaraf antarabangsa akan menarik pelaburan dan pekerja yang bertaraf antarabangsa.
"Kegagalan projek LRT akan meninggalkan tamparan hebat kepada sektor pembuatan dan elektrik dan elektronik. Sektor E&E di Pulau Pinang adalah angsa yang bertelur emas. Jangan kita membunuh pembangunannya," katanya.
Justeru, Sim meminta Menteri Kewangan meneliti semula keputusan tersebut, kerana beliau menganggap keputusan itu bermotifkan politik kepartisan.
"Jangan mengulangi kesilapan kerajaan Barisan Nasional yang terdahulu yang cuba membantut pembangunan negeri-negeri pembangkang.
"Pertukaran kerajaan bukan semestinya pembatalan projek pembangunan. Dalam Belanjawan 2021, negeri Pulau Pinang tidak mendapat sebarang perhatian daripada kerajaan Pusat. Tiada sebarang projek pembangunan baru.
"Lagi mengecewakan, projek yang diluluskan oleh kerajaan terdahulu dibatalkan pula. Negeri Pulau Pinang ada penyokong kerajaan PN juga.
"Pembangunan negara itu adalah demi kesejahteraan negara dan rakyatnya. Maka, janganlah memangsakan rakyat Pulau Pinang," katanya.
תגובות