Oleh: Abdullah Zaid
Tindakan Presiden Pas, Hj Hadi Awang mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan dalam memberi keringanan hukuman kepada pesalah sebagai tidak menepati syariat Islam terus dikritik.
Bagi Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, dakwaan yang diutarakan oleh ketua parti Islam itu sehingga mempersoalkan hak Yang Dipertuan Agong dan Raja-raja Melayu untuk memberikan pengampunan sangat tidak wajar dilakukan.
Hal itu, katanya, sistem undang undang syariah di negara ini terhad kepada bidang kuasa negeri sahaja dan tidak melewati Persekutuan untuk menangani hal hal jenayah sepenuhnya.
"Perlu untuk kita tahu kuasa pengampunan yang ada kepada raja tidak boleh dibandingkan dengan sistem syariah kerana undang-undang syariah hanya di peringkat negeri sahaja.
"Oleh itu jika hendak dibandingkan dengan kaedah Qisas (hukuman yang sama dan seimbang dengan kesalahan yang dilakukan), undang-undang syariah tidak ada dalam sistem perundangan jenayah kita (di peringkat Persekutuan)," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Selain itu, Syed Ibrahim yang juga Pengarah Modal Insan KEADILAN turut menyarankan agar Pas melaksanakan dahulu sistem Qisas di negeri yang ditadbir terutamanya di Kelantan dan Terengganu untuk dijadikan rujukan.
Sebelum ini, katanya, Pas juga gagal membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355) bagi meningkatkan bidang kuasa negeri ketika mereka berada dalam Kerajaan Persekutuan selama 3 tahun.
"Kenapa tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan undang-undang syariah di negeri yang dimenangi terutama di Kelantan dan Terangganu.
"Juga kenapa RUU355 tidak dikuatkuasakan walaupun mereka pernah menjadi kerajaan selama 33 bulan.
"Jadi perbandingan itu tidak kena dan tidak menghormati sistem perundangan jenayah sedia ada serta peranan Raja-raja yang terlibat dalam hak pengampunan," kata Syed Ibrahim lagi.
Kommentare