
Pembangkang yang berdegar degar mengkritik isu lawatan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi dinasihatkan untuk hadir pada hari Selasa ini semasa sesi soal jawab Perdana Menteri bagi bertanya soalan mengenai 'bahan' kritikan mereka.
Setiausaha Politik Kanan PM, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata pemimpin pembangkang khususnya pimpinan utama PN wajib hadir pada pagi itu serta pastikan mereka mempunyai banyak soalan untuk mendapat jawapan lengkap daripada PM.
"Pembangkang dan penyokong kecoh cari kekurangan lawatan PM @anwaribrahim ke Arab Saudi.
"Nasihat saya jangan bising berkokok di luar, sebaliknya beranikan diri minta pimpinan anda tanya di parlimen waktu soal jawab dengan PM, bukan seperti tikus menikus," ciap Shamsul di Twitter.
Beliau turut menyertakan klip videonya mempersoalkan beberapa pemimpin utama PN yang sering tidak hadir pada hari Selasa sehingga soalan kepada PM sering kali ditanya oleh wakil rakyat kerajaan.
"Misalnya soal jawab dengan PM yang sebelum ini tidak ada mana mana PM yang snaggup meluangkan masa selama 30 minit berada di Parlimen untuk menjawab apa jua isu.
"Tetapi kita lihat itu (soalan pembangkang) tidak berlaku dalam parlimen Malaysia. Di mana Ketua Pembangkang ketika PM menjawab soalan pada hari selasa? Di mana Pagoh (Mahiaddin Yassin), di mana Marang (Hadi Awang), di mana pimpinan PN yang kononnya lantang di luar menyerang Kerajaan Perpaduan
"Tetapi ketika PM berada di dalam Dewan Rakyat mereka tiada di barisan hadapan. Itu bagi saya kemunafikan pada tahap tinggi," katanya lagi.