top of page

Pertemuan singkat dengan Presiden Uzbekistan perkukuh hubungan dua hala

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 hours ago
  • 1 min read
DS Anwar bertemu Shavkat Mirziyoyev perkukuh hubungan dua hala. Foto: FB Anwar
DS Anwar bertemu Shavkat Mirziyoyev perkukuh hubungan dua hala. Foto: FB Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan singkat namun bermakna dengan Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev ketika pesawat beliau membuat hentian di Tashkent.


Menurut Anwar, pertemuan semalam membuka ruang untuk kedua-dua mereka bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh hubungan dua hala yang semakin berkembang dalam pelbagai bidang strategik.


"Pertemuan ini memberi ruang untuk kami bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh hubungan dua hala yang terus berkembang dalam pelbagai bidang strategik termasuk perdagangan, pelaburan, pendidikan, industri halal dan pelancongan," katanya dalam muat naik di media sosial.


Beliau berkata, kedua-dua pihak turut menyentuh kepentingan mempererat kerjasama dalam memelihara khazanah tamadun Islam serta tradisi keilmuan yang telah melahirkan tokoh-tokoh besar dunia.


"Kami juga menyentuh kepentingan mempererat kerjasama dalam memelihara dan mengangkat khazanah tamadun Islam serta tradisi keilmuan yang telah melahirkan tokoh-tokoh besar dan menyumbang kepada kegemilangan peradaban manusia," katanya.


Dalam sektor tenaga pula, Anwar melihat potensi besar untuk memperkukuh kerjasama khususnya dalam industri gas dan petroleum.


Beliau turut menghargai komitmen Uzbekistan dalam memperkukuh hubungan dengan negara-negara ASEAN serta peranannya yang semakin penting di rantau Asia Tengah.


Sebelum meneruskan perjalanan ke Kazan, Rusia, Anwar turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan kebangsaan Uzbekistan yang bakal memulakan aksi di Piala Dunia 2026.


"Mudah-mudahan hubungan persahabatan ini akan terus diperkukuh, bukan sekadar demi manfaat ekonomi dan perdagangan, tetapi juga untuk mengangkat martabat insan, memperkasa ilmu dan menjayakan pembangunan yang lebih adil serta inklusif," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page