top of page

Pertemuan PM Itali bincang pelaburan strategik, tenaga lestari, AI - PM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 3
  • 2 min read

Pertemuan PM Anwar dan PM Meloni membuka ruang perbincangan pelbagai bidang. Foto: Albarra Azfar-PMO
Pertemuan PM Anwar dan PM Meloni membuka ruang perbincangan pelbagai bidang. Foto: Albarra Azfar-PMO

Pertemuan bersejarah Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan rakan sejawatnya dari Itali, PM Giorgia Meloni membuka ruang kepada perbincangan yang produktif dan menyeluruh.


Menurut Anwar, perbincangan hari ini merangkumi pelbagai aspek kerjasama dua hala termasuk pelaburan strategik, pertahanan, tenaga lestari serta pembangunan industri berteknologi tinggi seperti semikonduktor, kenderaan elektrik dan kecerdasan buatan (AI).


"Saya menyambut baik pelaburan syarikat-syarikat terkemuka Itali seperti Leonardo, Fincantieri dan ENI di Malaysia, dan mengalu-alukan penglibatan lebih meluas syarikat negara ini dalam Zon Ekonomi Khas serta pelaksanaan program latihan industri yang berpaksikan kepakaran dan pemindahan teknologi.


"Kami turut bertukar pandangan berhubung isu-isu serantau dan antarabangsa yang memerlukan penyelesaian kolektif berlandaskan prinsip keamanan sejagat, keadilan dan saling menghormati," katanya dalam muat naik di Facebook.


Tegas beliau, pertemuan itu berjaya memperteguh tekad bersama untuk memperluas kerjasama strategik yang memberi manfaat langsung kepada rakyat kedua-dua negara, berpaksikan semangat persahabatan yang tulus dan saling mempercayai.


"Sebagai Pengerusi ASEAN, saya menegaskan komitmen Malaysia untuk terus memainkan peranan sebagai jambatan penghubung antara ASEAN dan rakan-rakan antarabangsa, termasuk Itali demi menjamin kestabilan, keamanan dan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan di rantau ini.


"Malaysia amat menghargai keterbukaan, kesungguhan dan komitmen Itali sebagai rakan kongsi penting dan yakin bahawa hubungan erat ini akan terus berkembang demi kemajuan, kesejahteraan dan masa depan yang lebih cerah bersama," katanya lagi.


PM tiba di Rom, Itali pada Selasa dalam usaha untuk memperkukuh hubungan dua hala dan menggalakkan kerjasama ekonomi pada peringkat global.


Pada 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dengan Itali mencatatkan peningkatan dua peratus, mencecah RM14.61 bilion (ASD3.18 bilion), berbanding 2023.


Bagi tempoh Januari hingga Mei 2025, jumlah dagangan meningkat sebanyak 3.3 peratus tahun ke tahun kepada RM6.5 bilion (ASD1.48 bilion).


Negara itu merupakan rakan dagang kelima terbesar Malaysia dan pengimport ketiga terbesar minyak sawit dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah pada 2024.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page