Pertemuan dengan Tuanku Muhriz, Ismail Lasim kekal Menteri Besar


Kedudukan Datuk Seri Ismail Lasim sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dilihat masih kekal selepas beliau menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, semalam susulan penghantaran surat peletakan jawatan beliau yang diumukan oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN).
Dipetik laporan Metro, hasil pertemuan itu, Tuanku Muhriz menitahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh berkenaan supaya meneruskan tugas dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar seperti biasa.
Perkembangan itu memberi gambaran bahawa urusan pentadbiran kerajaan negeri masih berjalan seperti biasa, meskipun isu peletakan jawatan Ismail menjadi perhatian susulan pendedahan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, kelmarin.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada kenyataan rasmi daripada pihak Istana Negeri Sembilan yang mengesahkan keputusan hasil pertemuan Ismail dengan Tuanku Muhriz.
Malah, ketulenan surat peletakan jawatan yang dikaitkan dengan Ismail juga masih belum disahkan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai status sebenar dokumen berkenaan.
Terdahulu, Istana Negeri Sembilan menerusi kenyataan Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Azizi Mohamad Ali, memaklumkan bahawa peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz, selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Sehingga pagi ini, acara rasmi agensi kerajaan negeri yang dihadiri atau dirasmikan Ismail juga masih menggunakan gelaran beliau sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Kelmarin, Zambry memaklumkan bahawa Pengerusi BN merangkap Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menerima satu salinan surat peletakan jawatan yang didakwa diutuskan Ismail kepada Tuanku Muhriz.
Perkara itu dimaklumkan Zambry menerusi hantaran di media sosial sekitar jam 10 malam, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai perubahan kepimpinan kerajaan negeri.
Ismail, yang juga pemimpin kanan Umno Negeri Sembilan, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 2 Ogos lalu selepas BN memenangi 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Keputusan itu membolehkan kedua-dua gabungan membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.
Perkembangan terbaharu ini dijangka terus menjadi tumpuan, khususnya berhubung kedudukan kepimpinan negeri dan implikasinya terhadap kestabilan politik Negeri Sembilan.




Comments