Pertembungan Anwar Ibrahim Dan Mustafa Kamal Ataturk
- Suara Keadilan
- 17 minutes ago
- 3 min read

Oleh: Amidi Hj Abdul Manan
ULASAN: Ramai yang mempertikai penghormatan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Mustafa Kamal Ataturk di Ankara, Turkiye baru baru ini. Seolah-olah Anwar telah tercabut akar akidah keIslamannya. Seumpama telah bertukar arah kiblat perjuangannya.
Anwar dan Mustafa Kamal adalah dua sosok yang berseberangan dari sudut idealisme perjuangan. Keduanya mempunyai keyakinan yang berbeza dalam menjulang martabat bangsa dan mengangkat harakat negara.
Latar dan pengalaman Mustafa Kamal adalah sebagai seorang pemimpin tentera Turkiye yang cemerlang dan berwibawa. Memimpin tentera Turkiye memenangi perang demi perang mempertahankan Pemerintahan Ottoman.
Namun beliau juga menyaksikan kebejatan yang berlaku dalam istana Kesultanan Uthmaniyyah. Rasuah, ugutan dan penyelewengan berlaku secara berleluasa.
Apa yang lebih buruk adalah runtuhnya akhlaq pemimpin dan para ulama sehingga masyarakat mempertikaikan integriti dan keikhlasan mereka dalam memperjuangkan agama.
Ulama tidak lagi dilihat sebagai kelompok yang mampu mempertahankan kebenaran. Mereka bersekongkol dalam menafikan keadilan untuk rakyat.
Gambaran buruk terhadap pemeritahan Islam
Apabila suasana menjadi terlalu rosak, ia memberikan gambaran buruk terhadap agama Islam itu sendiri.

Maka sebab itulah sokongan yang begitu meluas diberikan kepada Mustafa Kamal Ataturk apabila beliau mampu menghalau penjajah khususnya Greece yang dibantu oleh kuasa Eropah yang lain seperti Inggeris dan Itali.
Kemenangan dalam siri-siri Peperangan Kemerdekaan pada 1922 menaikkan reputasi Mustafa Kamal Ataturk selaku penyelamat bangsa Turki.
Rakyat tidak lagi melihat Sultan Abdul Majid II sebagai seorang yang mampu mempertahankan maruah bangsa Turki. Baginda telah dikhianati oleh orang-orang kepercayaan baginda sendiri.
Kelemahan baginda dilihat sebagai kelemahan Islam.
Nasionalisme sekular asas Turkiye
Lantaran itu apabila Mustafa Kamal mengusulkan agar faham nasionalisme sekular dijadikan asas negara Turkiye moden, suara Islam mula luntur di hati rakyat.
Dari ketetapan tersebut maka bermulalah pembinaan wajah dan watak baharu bangsa Turki. Serban digantikan dengan topi. Tudung labuh berniqab (cadar) ditanggalkan.
Huruf Arab digantikan dengan huruf Latin. Pendidikan Islam hanya wujud di luar sistem pendidikan arus perdana, dan tidak lagi menjadi keutamaan negara.
Amalan agama adalah dalam ruang lingkup peribadi. Tiada siapa yang boleh mengenakan tindakan jika ada yang makan di tempat awam di kala siang Ramadan.
Mustafa Kamal Ataturk mengambil sikap bahawa nilai yang dibawa Islam membawa kepada kemunduran. Nilai Barat perlu dijadikan ikutan oleh bangsa Turki. Peperangan hanya mempertahankan wilayah negara, bukan pertembungan nilai bangsa.
Pengaruh pemikiran Mustafa Kamal turut terkesan kepada Soekarno selaku pendiri negara Indonesia. Beliau mempertahankan perjuangan Mustafa Kamal Ataturk sehabisnya antaranya dalam tulisan beliau Di Bawah Bendera Revolusi.
Pejuang Islam muncul di Malaysia
Selang 45 tahun kemudian seorang pemuda muncul di Malaysia. Malaysia yang baru merdeka juga tercari-cari identiti masyarakatnya. Pemuda ini dengan penuh keyakinan mengusulkan bahawa Islam adalah sebuah kekuatan.
Islam mempunyai kekuatan dalam membina peradaban. Pemuda ini yakin bahawa bangsa Melayu khususnya, akan menjadi semakin bermaruah dan kuat apabila kukuh ikatan aqidahnya bersama Islam. Sikap yang sama sekali berbeza dengan sikap Mustafa Kamal Ataturk.
Slogan 'Islam sebagai cara hidup', 'Islam sebagai sistem kehidupan' diangkat bagi memperteguh komitmen masyarakatnya bersama Islam.
Kitab 'Islam and Secularism' menjadi asas bagi penghujahan betapa sekularisme di Barat yang diertikan dengan pemusuhan terhadap agama adalah satu tragedi terhadap peradaban.
Kitab 'Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu' yang mengangkat betapa besarnya jasa Islam dan membina bangsa Melayu yang mencintai ilmu dan mampu membina peradaban membesarkan lagi jarak perbezaan antara pemuda ini dengan Mustafa Kamal Ataturk.
Pemuda yang dimaksudkan ini adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Atas keyakinan terhadap Islam maka beliau terus berjuang untuk merealisasikan apa yang diyakininya.
Islamisasi besar besaran
Bermula dengan penginstitusian Islam seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Bank Islam, Takaful Islam.
Ditambah dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang dengan jelas menggariskan betapa agama perlu diberikan tempat yang tinggi dan bukan dimusuhi dalam pendidikan arus perdana negara.
Kalau Mustafa Kamal mengkehendaki wanita Turkiye membuang tudung, tapi Anwar Ibrahim mendidik anak buahnya agar memakai tudung atas kesedaran sendiri.
Tulisan Jawi menjadi salah satu agenda beliau. Tulisan Jawi bukan sekadar tulisan, tetapi ia adalah penghubung kebudayaan Melayu di Nusantara. Ia tersebar dari Kemboja ke Selatan Thai, ke Acheh dan Semenanjung Tanah Melayu hingga ke Kesultanan Brunei dan Kalimantan lalu menyeberangi Laut Sulu ke Selatan Filipina.
Atas kesedaran itu, Islam dilihat sebagai satu adikuasa yang kuat pengaruhnya dalam mengangkat darjat, martabat dan harakat bangsa Melayu.
Jelas terbukti bahawa kedua-dua pemimpin ini mengambil posisi yang berlawanan.
Penghormatan atas sifat karamah insaniah
Maka jika kita ingin memahami keterujaan sahabat apabila Baginda Rasulullah s.a.w yang bangun berdiri menghormati jenazah Yahudi yang lalu di hadapan Baginda, ia bukan sahaja dari sudut adab dan perilaku tetapi juga pertembungan pemikiran dan permusuhan pandangan antara kedua pihak yang tidak menghalang penghormatan diberikan atas sifat kemuliaan insan (karamah insaniah).
Sudah tentu setiap bangsa ada cara penghormatan yang tersendiri, ia bukan satu penyembahan atau kepatuhan kepada seorang yang berbeza pendirian.
Penulis merupakan Ahli Majlis Pimpinan Pusat serta Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN.





