Calon KP SPRM Perlu Lebih Tegas Banteras Rasuah
- Suara Keadilan
- 1 hour ago
- 2 min read

Oleh: Dr Bam Al-Haj
ULASAN: Perkhidmatan Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dijadualkan akan tamat pada 12 Mei 2026, setelah kontraknya disambung untuk tempoh satu tahun berkuat kuasa 13 Mei 2025.
Sebelum ini, kontraknya telah disambung dua kali dan beliau sendiri telah memberi bayangan bahawa ini mungkin akan menjadi penggal terakhir perkhidmatannya kerana sudah tiga kali dilanjutkan.
Beliau pun sudah sebut, Rafizi tidak suka dia.
Tentu ramai yang setuju (gurauan). Termasuk sahabat saya Mr X. Hari-hari dia bercakap tentang "kegagalan" membanteras rasuah. Kami sepakat bagus jika Tan Sri Ayob Khan dilantik sebagai KP SPRM yang baharu.
Buka balik fail-fail lama kes-kes besar yang selama ini disimpan di bawah permaidani. Rasuah menyebabkan negara kerugian berbilion ringgit setiap tahun. Ketirisan yang merugikan rakyat.
Letak pegawai integriti di jabatan, agensi
Pegawai integriti mesti diletakkan di semua Jabatan, agensi, GLC dan GLIC serta korporat besar. Mereka perlu diberikan kuasa penuh mengakses kesemua fail dan akaun kakitangan di mana mereka ditempatkan.
Menurut Mr X lagi, sudah tiga tahun Kerajaan Madani, tapi pembanterasan rasuah belum cukup berhasil. Banyak lagi kes yang belum selesai yang menyebabkan imej PMX dan Kerajaan Madani tercalar, katanya.
Semak semua akaun pegawai tinggi kerajaan, ahli politik, GLC dan GLIC. Juga ahli keluarga mereka. Jika pendapatan melebihi gaji dan elaun, sila siasat.
Kita ada Akta SPRM, Akta Jenayah, AMLA dan lain lain. Jika memerlukan undang-undang tambahan, pindalah akta sedia ada.
Pendidikan integriti
PMX kata nak banteras kegiatan kartel. Kartel beras, kartel daging, kartel dadah dan kartel perbekalan masih berleluasa.
"We need action!" .

Kita faham PMX seorang tidak mampu membanteras rasuah yang sudah berakar sejak zaman Dr Mahathir. Ia sudah jadi sistemik. Bahkan ada yang menganggapnya sebagai normal.
Selain itu, pendidikan integriti juga perlu disegerakan di sekolah dan IPT. Akademi Kenegaraan perlu menganjurkan kursus-kursus integriti dan antirasuah dalam kalangan kakitangan kerajaan, GLC dan GLIC. Ini fokus penting jika PMX betul-betul hendak membanteras rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa. Wajibkan semua kakitangan kerajaan, GLC dan GLIC hadir.
Jangan pertahan perasuah
PMX ada dua tahun lagi. Sekaranglah masa yang paling sesuai. Buktikanlah bahawa Kerajaan Madani benar-benar serius dalam hal ini. Inilah yang rakyat mahu. Sekali lagi: "We need action!".
Media termasuk medsos perlu digerakkan supaya sebarang perlakuan rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa diserang secara besar-besaran.
Jangan ada pula individu atau kumpulan yang sibuk mahu pertahanan perasuah, apa lagi yang sudah dihukum oleh mahkamah.
Kita perlu lahirkan sejuta orang berintegriti macam Ayob Khan atau calon lain, Shuhaily Mohd Zain. Tegas membanteras rasuah.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan bukannya pendirian rasmi Suara Keadilan





