Wacana bersama George Galloway kupas isu kemanusiaan geopolitik global
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Program Wacana Bersama bekas Ahli Parlimen United Kingdom, George Galloway, menjadi medan penting dalam membincangkan realiti geopolitik antarabangsa serta cabaran kemanusiaan yang sedang melanda dunia hari ini.
Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, kehadiran George Galloway yang dikenali sebagai tokoh politik Barat yang sering memperjuangkan keadilan sejagat dan hak asasi manusia dan memberi nilai tambah besar kepada penganjuran wacana tersebut.
"Saya berkesempatan menghadiri program wacana George Galloway, seorang tokoh politik Barat yang dikenali dengan pendirian lantang dalam memperjuangkan keadilan sejagat, hak asasi manusia serta penentangan terhadap peperangan dan imperialisme.
"Program ini menjadi medan penting untuk memahami realiti geopolitik antarabangsa serta cabaran kemanusiaan yang sedang melanda dunia hari ini," katanya dalam satu kenyataan media.
Menurut beliau, wacana berkenaan membuka ruang perbincangan yang kritikal dan berani, khususnya berkaitan isu penindasan, konflik berpanjangan serta sikap hipokrasi kuasa besar dalam menangani isu hak asasi manusia.

"Perkongsian pandangan dan pengalaman George Galloway memberi perspektif yang bernilai, sekali gus mencabar peserta untuk berfikir secara lebih objektif, berprinsip dan bertanggungjawab dalam menilai isu-isu global," ujarnya.
Program tersebut turut disertai Yang Berhormat Tan Sri Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; Presiden AMANAH, Datuk Seri Haji Mohamad Sabu; pimpinan Parti AMANAH Negara serta wakil-wakil badan bukan kerajaan (NGO).
Dr Mujahid berkata, kehadiran tokoh-tokoh kepimpinan negara bersama penglibatan aktif golongan anak muda telah menghidupkan wacana dan memperkayakan perbincangan yang berlangsung.
Beliau menegaskan bahawa wacana tersebut bukan sekadar sesi perkongsian ilmu, sebaliknya satu peringatan penting tentang keperluan keberanian moral, kejujuran dan kesatuan tindakan dalam perjuangan kemanusiaan.
"Ia menyedarkan kita bahawa keamanan dan keadilan sejagat hanya dapat dicapai apabila suara kebenaran terus disuarakan tanpa gentar, melangkaui sempadan bangsa, agama dan negara," katanya lagi.









Comments