Pertelagahan parti Melayu di NS bukti slogan 'Melayu terancam' hanya propaganda?
- Suara Keadilan
- 2 minutes ago
- 2 min read

Belum pun seminggu selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang menyaksikan Perikatan Nasional (PN) dan BN membentuk Kerajaan Negeri, telah kedengaran dakwaan ahli politik kedua dua belah pihak bertelagah untuk mendapatkan jawatan Exco sehingga muncul cadangan perlunya diwujudkan jawatan Timbalan Exco.
Bagi mantan Ahli Dewan Negeri Selangor, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mokhtar (gambar), masyarakat Melayu yang mengundi PN-BN seharusnya sedar bahawa ancaman dan ketakutan yang dimainkan dalam politik sepanjang kempen dua minggu lalu hanyalah untuk meraih sokongan mereka, bukannya mahu menyatukan Melayu di negeri itu.
"Parti Melayu sama Melayu dah mula gaduh di Negeri Sembilan.
"Slogan Melayu dan Islam terancam hanya propaganda demi dapatkan kuasa," sinis Fakhrulrazi dalam muat naik di media sosial.
Menurutnya, kelemahan masyarakat Melayu yang mudah mempercayai propaganda akhirnya membawa kesan buruk kepada Kerajaan Negeri yang diisi oleh pihak yang bukan seratus peratus mahu memajukan negeri.
Fakhrulrazi berkata, cabaran utama ketika ini adalah untuk menyedarkan masyarakat Melayu supaya tidak terus terperangkap dengan dakyah yang menakut nakutkan mereka.
"Cabaran sebenar ialah menyedarkan bangsa Melayu itu sendiri dan membebaskan pemikiran daripada terus ditakutkan dengan dakyah jahat," ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa sikap terlalu selesa dan takut untuk berubah boleh menjadi antara faktor yang menghalang kemajuan masyarakat Melayu.
Dalam pada itu, laporan FMT sebelum ini dipetik bahawa Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu Datuk Ismail Lasim dijangka bakal berdepan cabaran besar menerajui Kerajaan Negeri, berikutan dakwaan gerakan dalam Umno sendiri yang mahu menggugat kedudukan beliau.
Penganalisis Akademi Nusantara, Azmi Hassan dipetik berkata, kegagalan beberapa ADUN Umno menghadiri majlis angkat sumpah Ismail kelmarin memberi isyarat wujudnya risiko perebutan kuasa dalaman.
Azmi berkata, ramai tidak melihat Ismail sebagai antara calon utama bagi jawatan Menteri Besar meskipun beliau mempunyai pengalaman dalam pentadbiran kerajaan.
"Nama beliau langsung tidak disebut dalam perbincangan mengenai siapa calon menteri besar Barisan Nasional dalam kerjasama dengan Perikatan Nasional.
"Tidak syak lagi Ismail akan berdepan tempoh yang bergelora sebagai menteri besar. Saya yakin perebutan kuasa dalaman akan berterusan selepas ini," katanya kepada FMT.
