Pertahankan Kota Madani, kemudahan untuk penjawat awam
- Suara Keadilan

- Jun 30
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Penjawat awam perlu mempertahankan pembangunan Kota Madani di Putrajaya memandangkan ia menyediakan kemudahan dan perumahan selesa kepada golongan tersebut, demikian kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata projek itu menjadi bahan serangan politik segelintir pihak sedangkan ianya bagi menyelesaikan masalah kekurangan perumahan untuk kakitangan kerajaan.
"Baru-baru ini kita luncurkan Kota Madani dan seperti biasa semua isu itu jadi bahan hentaman politik, saya tak kisah, tapi cuma nak sebut kita (kerajaan) tahu mengenai masalah perumahan (penjawat awam).
"Bahawa yang tunggu (perumahan awam) beribu, yang rosak pun beribu tetapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini 98% telah diperbaiki dan diduduki. Saya ucapkan tahniah kepada Perbadanan Putrajaya
"Apakah cukup, tidak cukup masih ribuan yang menunggu..," katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Perdana Menteri menekankan bahawa projek berkenaan antara usaha kerajaan menyediakan perumahan selesa yang dilengkapi pelbagai kemudahan kepada penjawat awam tanpa membebankan kewangan negara.
"Ia bukan rumah pangsa biasa," katanya sambil menambah projek perumahan awam itu akan dilengkapi sekolah, masjid, gimnasium dan taman permainan yang berasaskan konsep Madani.
Justeru itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan meminta kakitangan kerajaan agar meneliti fakta tersebut dan mempertahankannya.
"...ramai yang tidak senang, entah dia mewakili kontraktor lain, tapi saya tidak faham mengapa tidak boleh dukung (pembangunan bagi penjawat awam)," katanya.
Minggu lalu, Perdana Menteri melancarkan projek Kota Madani bernilai RM4 bilion bagi memenuhi keperluan perumahan penjawat awam di Putrajaya.
Projek akan dibangunkan oleh Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PjH) menerusi model kerjasama awam-swasta berkonsepkan build, lease, maintain and transfer (Bina-Pajak-Selenggara-Pindah–BLMT) tanpa membabitkan peruntukan kerajaan pada peringkat awal.
Kota Madani melibatkan pembinaan 10,000 unit kuarters kediaman yang mampu menampung lebih 30,000 penduduk, sekolah bertingkat serta pelbagai kemudahan awam.
Fasa pertama pembangunan dijangka bermula pada September ini dan siap menjelang akhir 2027.
Kemudahan lain yang dirancang termasuk institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sekolah, klinik kesihatan, balai bomba, balai polis, masjid, institusi kewangan serta reka bentuk berunsur budaya tempatan bagi mengekalkan warisan seni bina.









Comments