Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan memulakan gerakan mempertahankan Kerajaan Negeri di Kuala Pilah.
Hal itu diungkap oleh Naib Presiden KEADILAN, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam ucapan sempena Sambutan Hari Malaysia PH yang berlangsung di Dataran Melang, Kuala Pilah, malam tadi.
Katanya, biar pun Ahli Parlimen Kuala Pilah belot menyertai kerajaan PN - BN namun Kerajaan Negeri terus membangunkan parlimen itu dengan pelbagai kemajuan yang tidak pernah dilihat penduduk pada era pentadbiran BN.
"Walau Ahli Parlimen lari, kita pastikan pembangunan berlaku di Pilah. (Peruntukan) RM11 juta pada 2019, RM20 juta 2020, 2021 RM14 juta projek dan penyelengaraan oleh Majlis Daerah Kuala Pilah.
"Ini kawasan pendalaman majoriti Melayu di mana peruntukannya tidak kita nafikan
"Kita juga ada projek di Dataran Kuala Pilah. Sebelum ini kita tidak ada dataran, LED tv pun tak ada. Sekarang ada McDonalds dan orang Pilah sikit hari lagi boleh minum pagi di Starbucks.
"Orang Kuala Pilah boleh berbangga mereka bukan berada di hujung lagi dan peniaga pula boleh mencari pendapatan. Kita juga ada zon penjaja. Bangunan zaman BN dulu jadi gajah putih kita bangunkan semula dan menjadi tumpuan ramai. Kawasan Ulu Bendul yang terbiar kita letakkan peniaga berpotensi di sana," katanya.
Selain itu, menurut Menteri Besar Negeri Sembilan itu lagi, kerajaan PH juga tangani masalah rakyat yang ditinggalkan BN dengan baik.
Contohnya, kata beliau, isu perumahan terbengkalai diselesaikan secara beransur ansur dan kerajaan memberi pemilikan tanah lot kediaman bagi penduduk Kuala Pilah.
"Isu rakyat tidak terlepas dari pandangan kita. Masyarakat Pilah pada 2006 menghadapi masalah rumah tak siap. Kita ambil alih. Hari ini kita nak bagi mereka tapak tanah dengan insfrastruktur.
"Kita bagi tanah untuk mereka buat rumah. Kita bagi lot banglo ganti rumah mereka. Dan Pilah akan ada satu bandar baharu di belakang ini. Izinkan kami perintah lagi inshaAllah.
"Orang Kuala Pilah perlu pastikan dalam PRU akan datang undi PH di parlimen dan DUN. Bukan sahaja Kuala Pilah, di Tampin boleh kita pertahan, Jempol juga Rembau," katanya.
Sehubungan itu, Aminuddin menyeru agar jentera parti dan penyokong PH tidak lagi leka menunggu tarikh pilihan raya tetapi memulakan gerak kerja berkempen untuk kemenangan daripada sekarang.
Katanya, dengan keyakinan tidak ada yang mustahil, semua DUN boleh dimenangi oleh PH dalam PRU 15.
Comments