Pertahan kekuatan ASEAN: Kekalkan keamanan, kestabilan, kemakmuran
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Negara anggota ASEAN diingatkan bahawa keamanan, kestabilan dan kemakmuran yang dinikmati rantau ini selama ini bergantung kepada sistem antarabangsa yang terbuka, inklusif dan berasaskan peraturan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiga elemen tersebut turut dipacu oleh aliran bebas perdagangan, modal dan mobiliti rakyat.
"Malangnya, asas-asas ini sedang dirobohkan oleh tindakan sewenang-wenangnya.
"Namun saya percaya sepenuhnya kepada kekuatan dan ketahanan ASEAN untuk menghadapi cabaran dan ketidaktentuan yang mendatang," katanya ketika berucap pada sesi pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Beliau yang merupakan Pengerusi ASEAN 2025 menegaskan pertubuhan serantau tersebut mampu mendahului perubahan zaman dengan mengekalkan semangat pemusatan ASEAN serta keyakinan untuk mencorakkan masa depan sendiri.
"Malaysia berasa amat berbesar hati untuk mempengerusikan ASEAN tahun ini – tahun yang penuh makna. Kita memperingati satu dekad sejak penubuhan Komuniti ASEAN, yang mengajak kita untuk merenung semula dan memperbaharui tekad," kata Anwar.
Dalam hal ini, Perdana Menteri memberikan penekanan agar tindakan segera diambil bagi menangani isu tarif Amerika Syarikat (AS) dengan penubuhan Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN, satu langkah penting dari sudut penyelarasan dan manifestasi tekad dan keyakinan.
"Satu peralihan dalam susunan geopolitik sedang berlaku dan sistem perdagangan global semakin tertekan, termasuk pelaksanaan tarif unilateral oleh AS. Dasar perlindungan sedang kembali meningkat, sementara multilateralisme pula semakin rapuh.
"Namun kita bersyukur atas semangat keterpusatan ASEAN dan rasa persaudaraan sesama ASEAN dalam membentuk kesepakatan bagi menangani cabaran ini," kata beliau.
Mengenai Myanmar, jelas beliau langkah positif telah dapat diambil melalui pendekatan diplomasi senyap dengan penubuhan Kumpulan Penasihat Tidak Rasmi bagi Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Kata beliau kumpulan tersebut diketuai bekas Perdana Menteri Thailand, Dr Thaksin Shinawatra yang turut bermesyuarat di Brunei dengan kehadiran Sultan Hassanal Bolkiah.
"Selepas mesyuarat ketiga di Bangkok, kita telah mencatat kemajuan dalam usaha mencari penyelesaian krisis Myanmar. Kami berterima kasih kerana mesyuarat seterusnya akan dihoskan oleh bekas Perdana Menteri Kemboja, Samdech Hun Sen.
"Saya ingin tegaskan bahawa sepanjang proses ini, pendekatan secara senyap amat penting. Langkah-langkahnya mungkin kecil dan jambatannya mungkin rapuh, namun seperti yang dikatakan, dalam hal-hal perdamaian, jambatan yang rapuh lebih baik daripada jurang yang melebar," ujar beliau.