Pertahan keharmonian, rakyat bersatu sebagai keluarga besar - Dr Wan Azizah


Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menyeru rakyat Malaysia sentiasa mempertahankan keamanan dan keharmonian sesama masyarakat berbilang kaum dan agama.
Semasa merasmikan Program Satelit Khas Kenduri Rakyat MADANI 2026 Parlimen Bandar Tun Razak pada Sabtu, beliau menegaskan bahawa kepelbagaian bukanlah penghalang untuk rakyat kekal bersatu.
"Meskipun berbeza bangsa dan agama, kita tetap saling menjaga seperti sebuah keluarga besar. Itulah yang kita mahukan supaya Malaysia dapat terus membangun bersama," katanya dipetik laporan media.
Program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) itu dihadiri kira-kira 1,000 penduduk setempat dan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuk Rewang Sekampung, Kenduri Rakyat MADANI, Jualan RAHMAH, pameran dan kaunter perkhidmatan kerajaan.
Turut diadakan ialah progran saringan kesihatan percuma serta persembahan kebudayaan dan patriotik.
Pada majlis yang sama, Dr. Wan Azizah turut merasmikan stesen pengecas kenderaan elektrik (Flexi EV Charging) bernilai RM72,000 yang dilengkapi empat unit pengecas di Pangsapuri Kos Rendah Bandar Tasik Selatan.
Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM350,000 di bawah inisiatif Projek Mesra Rakyat 2026 bagi penambahbaikan struktur jalan serta kerja-kerja baik pulih lif di pangsapuri berkenaan demi keselesaan penduduk.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak sementara itu menyeru komuniti setempat agar memanfaatkan setiap kemudahan yang disediakan serta berganding bahu dalam menyelesaikan isu persekitaran mereka.
"Selepas dinaik taraf, jagalah. Kita perlu bersama-sama membangunkan dan menjaga harta benda supaya anak cucu kita juga dapat merasai manfaatnya," katanya.




Comments