top of page

Pertahan institusi Raja-Raja Melayu, hormati prinsip negara hukum - AMK

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
58 minutes ago
2 min read

Semua pihak menghormati dan mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu serta memastikan sebarang kemelut membabitkan institusi diraja diselesaikan berdasarkan Perlembagaan dan proses undang-undang yang sah.


Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Muhammad Kamil Abdul Munim (gambar) berkata perkara itu antara yang dibincangkan dalam mesyuarat AMK hari ini yang turut menyentuh perkembangan politik semasa, kesiapsiagaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka serta pengukuhan organisasi dan agenda anak muda.


Menurutnya, AMK memandang serius polemik membabitkan institusi diraja Negeri Sembilan dan menyelar cara pimpinan Umno-MCA-BN bersama Pas dan Wawasan mengendalikan isu berkenaan.


"AMK memandang serius polemik melibatkan institusi diraja Negeri Sembilan dan menyelar cara pimpinan Umno-MCA-BN bersama-sama Pas dan Wawasan mengendalikan permasalahan ini.


"AMK menyifatkan sikap dan usaha menurun serta mengaibkan raja pemerintah yang sedang bertakhta sebagai biadab dan bertentangan dengan tanggungjawab memelihara kehormatan Raja-Raja Melayu yang telah sedia termaktub tegas dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan media.


Beliau berkata, penyelesaian kemelut berkenaan perlu berpandukan prinsip dan semangat ajaran Islam, termasuk menghormati kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sebagai Ketua Agama Islam negeri.


"Pertimbangan keadilan, adab, proses adat yang wajar dan kemaslahatan rakyat mesti mendahului kepentingan dan tembolok politik," katanya.


AMK turut menegaskan bahawa sebarang pertikaian perlu ditangani melalui proses yang sah tanpa menjatuhkan kehormatan baginda atau mencemarkan institusi diraja.


"Malaysia tertegak dengan prinsip negara hukum. Justeru semua pihak yang terlibat wajib mematuhi Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan proses adat yang sah.


"Keangkuhan politik tidak wajar digunakan untuk menginjak prinsip asas telah termaktub sejak sekian lama," katanya.


Penyelewengan, salah guna kuasa


Dalam pada itu, AMK menggesa Kerajaan MADANI membentangkan segera laporan berkaitan FELDA serta institusi lain termasuk MARA dan NAFAS yang dikaitkan dengan dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan kehilangan aset.


Menurut AMK, rakyat berhak mengetahui jumlah kerugian yang ditanggung, perkembangan pemulihan aset serta tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.


"Mempertahankan institusi utama ini bermakna menjaga integriti serta manfaatnya kepada rakyat dan Bumiputera. Mereka yang menyeleweng amanah institusi ini telah mengkhianati masyarakat yang sepatutnya dibela," katanya.


AMK pada masa sama menuntut kerajaan memberi keutamaan kepada isu peluang pekerjaan berkualiti, gaji bermaruah, peningkatan kemahiran, perlindungan sosial pekerja gig dan penyediaan perumahan yang lebih baik untuk golongan belia.


Kamil berkata tuntutan berkenaan perlu diterjemahkan menerusi dasar kerajaan dan dimasukkan dalam Belanjawan MADANI 2027.


Mengenai PRN Melaka, beliau berkata AMK sudah memperkemas jentera di setiap DUN tumpuan, selain mengemukakan beberapa nama calon muda berwibawa yang mempunyai rekod khidmat untuk pertimbangan kepimpinan pusat KEADILAN.


"Sebarang keputusan berhubung kerjasama politik dalam PRN Melaka mesti berteraskan kepentingan rakyat serta agenda pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri.


"Kerjasama politik tidak boleh menjadi sekadar ‘marriage of convenience’ untuk memenuhi selera politik pihak tertentu. Manfaat kepada rakyat Melaka mesti dan sentiasa memagari sebarang bentuk rundingan mahupun kerjasama politik," katanya.


Mesyuarat AMK juga menetapkan tiga pelantikan baharu, iaitu Mohd Shafiq Iqram Abdullah sebagai Pengarah Strategi AMK, Wan Nur Aishah Ahmad Fazli sebagai Ketua AMK Wilayah Persekutuan dan Mohamad Iqbal Farok sebagai Timbalan Ketua AMK Wilayah Persekutuan.


"Raja-Raja Melayu wajib dihormati, undang-undang mesti dipatuhi dan amanah rakyat tidak boleh dikhianati.


"Kedurjanaan ke atas institusi-institusi besar negara seperti Tabung Haji, FELDA, MARA dan sebagainya mesti dihentikan, dirungkai dan diperbetul agar tidak ada lagi watak-watak yang berkepentingan merasakan institusi-institusi ini boleh sewenangnya dijadikan lubuk memunggah kekayaan," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page