Pertahan Inanam: Bukan isu kuasa tetapi tunai amanah - Peto Galim
- Suara Keadilan
- 1 hour ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Calon Pakatan Harapan (PH) yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam, Datuk Peto Galim menegaskan penglibatannya dalam politik bukanlah bertujuan inginkan kuasa sebaliknya bagi melaksanakan amanah rakyat melalui rekod penyampaian yang jelas sejak memegang jawatan sebagai wakil rakyat kawasan itu.
Pengarah Pilihan Raya KEADILAN Sabah itu berkata, keutamaan beliau sejak hari pertama menjadi wakil rakyat adalah menyelesaikan masalah rakyat melalui tindakan nyata dan bukan retorik.
"Inanam bukan tempat menguji kuasa. Ini tempat saya tunaikan amanah rakyat," katanya dalam satu infografik yang dimuat naik di Facebook.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Peto yang juga Ketua Cabang KEADILAN Sepanggar menampilkan rekod pembangunan yang dianggap signifikan dalam beberapa sektor utama seperti infrastruktur, kebajikan, perumahan, dan pewartaan kampung.
Lebih 40 laluan jalan raya dinaik taraf termasuk pembaikan jambatan gantung, sistem saliran, dan pengukuhan cerun sebagai langkah mitigasi banjir.
Bekalan air bersih turut menjadi tumpuan dengan pemasangan sistem paip baharu, tangki HDPE dan projek graviti di kampung-kampung yang mengalami masalah air bertahun-tahun.
"Saya tidak janji atas kertas. Semua yang dibuat adalah supaya rakyat benar-benar merasai perubahannya," tegas beliau.
Kemudahan awam seperti gelanggang sukan, pusat komuniti, tandas awam, titi kayu dan lampu jalan turut ditambah baik demi keselamatan dan keselesaan penduduk.
Peto turut menumpukan usaha kepada bantuan sosial termasuk bakul makanan, ratusan lawatan kebajikan kepada pesakit terlantar, warga emas juga program bantuan kerusi roda, lampin pakai buang, susu bayi dan sokongan kecemasan yang menjadi sebahagian daripada inisiatif kepada penduduk setempat.
"Kita tidak biarkan ada keluarga tertinggal di belakang. Setiap bantuan mesti sampai kepada yang benar-benar memerlukan," ujar beliau.
Sektor perumahan menjadi antara pencapaian terbesar Peto apabila lebih 300 hingga 500 unit Rumah Mesra (Sabah Maju Jaya) SMJ diluluskan untuk keluarga B40, ibu tunggal dan golongan yang terjejas.
Beliau sering mengulangi komitmen bahawa penyediaan kediaman selesa adalah asas kepada kehidupan yang lebih terjamin bagi golongan berpendapatan rendah.
Salah satu kejayaan terbesar ialah pewartaan 22 kampung di Inanam yang menurutnya bukan sekadar proses dokumentasi tetapi melibatkan kelulusan teknikal, pengesahan kerajaan negeri, serta membolehkan kampung-kampung itu menerima peruntukan rasmi.
"Pewartaan ini mengangkat maruah kampung. Ia memberi hak, pembangunan dan pengiktirafan kepada penduduk," katanya.
Peto, 59, yang berlatar belakang seorang jurutera turut menegaskan pembangunan di Inanam bukan usaha jangka pendek, tetapi hasil kerjasama pelbagai agensi dan komitmen berterusan untuk menambah baik infrastruktur, mengatasi masalah banjir dan memacu ekonomi setempat.
Beliau menegaskan kepimpinannya akan terus berasaskan tindakan dan bukan slogan.
"Saya tidak mahu berdiri jauh daripada rakyat. Selagi ada daya, selagi saya diberi amanah, saya akan terus bekerja untuk rakyat Inanam," katanya.
Dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, Peto yang membawa misi PH berdepan pertandingan 13 penjuru apabila dicabar dua bekas wakil rakyat kerusi berkenaan iaitu Kenny Chua dari Parti Solidariti Tanah Airku (PST) dan Dr Roland Chia, calon Bebas.
Beliau turut bersaing dengan Naib Presiden UPKO Wong Thien Fook, Edna Jessica Majimbun (Warisan), Lewis Wong (Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat), Paul Anap (Parti Impian Sabah), Joseph Linggian (Parti Kerjasama Anak Negeri), Sumali Marino Ahmad (Parti Rumpun Sabah), Gordon Lai (Parti Bumi Kenyalang), Martin Sibit (Parti Gemilang Anak Sabah), Chia Yun Kong (Perjuangan Rakyat) serta Shone Eric Jr Majimbun (Bebas).
Pada pilihan raya negeri 2020, Peto menang dengan majoriti 5,638 undi menewaskan sembilan calon lain.





