Persoal Rafizi bercuti: Armada perlu 'cermin diri', lihat prestasi PN dahulu
- Suara Keadilan
- May 4
- 2 min read

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang, Muhammad Iman Haziq mengecam kenyataan Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Harris Idaham Rashid yang mempersoalkan Menteri Ekonomi bercuti pada waktu negara memerlukan khidmatnya.
Menurut Iman, tidak perlu dipersoalkan sama ada Datuk Seri Rafizi Ramli bercuti pada waktu ini kerana ketika beliau sakit dan menjalani pembedahan slipped disc sekalipun Menteri itu masih bekerja dan menyumbang khidmatnya.
Ujar beliau, mungkin pemimpin Armada terlupa bahawa sepanjang Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan pada 2020 - 2022 lalu banyak pemimpin kerajaan yang 'hilang' dan gagal berkhidmat sebaiknya dalam tempoh pandemik Covid 19 ketika rakyat memerlukan mereka.
"Tuduhan mempersoal komitmen Rafizi tidak perlu berbangkit sedangkan operation slipped disc pun Rafizi Ramli masih bekerja dan tidak ambil cuti.
"Mungkin pihak di sebelah sana terlupa, sewaktu mereka menjadi kerajaan 33 bulan itu ada pemimpin mereka sempat bermain golf dan tidak hadir ke Parlimen waktu pandemik dahulu.
"Di mana saudara (Harris) ketika itu? Diam? Membisu seribu bahasa?" tanyanya dalam satu kenyataan.
Katanya, tidak perlu dipersoalkan tindakan pemimpin Kerajaan Perpaduan bercuti atau bekerja kerana sekiranya prestasi pemimpin kerajaan PN didedahkan maka pekung lebih besar akan terbuka.
"Tidak perlu saya senaraikan semuanya di sini (khidmat Menteri PN) takut nanti ada yang ‘tercirit’ sebelum sempat menjawab.
"Nasihat saya kepada Armada sebelum mempersoalkan usaha orang lain, cermin diri dahulu. Rakyat sudah bijak menilai, mereka muak dengan politik murahan yang hanya pandai berkata tetapi kosong dengan fakta dan hasil," katanya lagi.
Kelmarin Harris berkata, ketiadaan Rafizi yang dilaporkan bercuti sebagai satu tindakan tidak bertanggungjawab, lebih-lebih lagi ketika negara sedang berdepan cabaran ekonomi dan dasar.
Katanya, rakyat mengharapkan Menteri yang memegang portfolio penting berkaitan pelaburan, ekonomi dan industri itu untuk memberikan komitmen penuh dalam memastikan kestabilan ekonomi serta daya saing industri negara.
Harris turut menggesa PM agar membatalkan kelulusan cuti Rafizi kerana negara amat memerlukan anggota Jemaah Menteri bekerja keras khususnya dalam ekonomi untuk mencari penyelesaian terbaik bagi cabaran semasa.
Comentários