top of page

Persidangan saintis Muslim serantau himpun pakar dari dalam, luar negara

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 day ago
  • 1 min read

Ustaz Fakhrulrazi memberi ucapan pada hari kedua Persidangan Saintis Muslim Serantau
Ustaz Fakhrulrazi memberi ucapan pada hari kedua Persidangan Saintis Muslim Serantau

Program Regional Muslim Scientist atau Persidangan Saintis Muslim Serantau yang berlangsung di Mardhiyyah Hotel, Shah Alam membuka tirainya semalam dengan penyertaan para saintis, ahli akademik serta wakil kedutaan dari pelbagai negara.


Program dua hari anjuran MAPIM itu menghimpunkan tokoh-tokoh terkemuka termasuk Prof Dr Ahmad Ismail, Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar, Prof Emeritus Tan Sri Datuk Anuar Ali, Datuk Dr Tengku Azzman, serta ramai lagi pakar dari dalam dan luar negara yang tampil membentangkan kertas kerja pada hari pertama.


Turut hadir ialah Duta Besar Pakistan, Iran, Turkiye, Rusia serta beberapa wakil kedutaan lain, menandakan sokongan serantau terhadap inisiatif penyatuan tenaga pakar Muslim.


Ketua Misi MAPIM bagi Rantau Asia Tenggara, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mokhtar, berkata program dua hari itu menjadi permulaan kepada usaha lebih besar untuk menghubungkan kepakaran saintis Muslim ke seluruh dunia.


"Kami berjaya mengumpulkan beberapa ahli sains dan pakar dari beberapa universiti dalam program Saintis Muslim Serantau (pada hari pertama).


"Program ini bukan sahaja sebagai permulaan untuk mengumpulkan pakar dan saintis Muslim dalam negara, tetapi insya-Allah kami akan bergerak ke negara muslim lain untuk menyatukan kekuatan kita yang ada dan mampu menguasai dunia dan membangkitkan semula dunia Islam,” katanya.

Para peserta yang mengambil bahagian dalam Persidangan Saintis Muslim Serantau
Para peserta yang mengambil bahagian dalam Persidangan Saintis Muslim Serantau

Menurutnya, hari kedua persidangan akan menumpukan pembentangan beberapa tajuk utama dengan industri halal sebagai antara fokus penting.


"Diharapkan ilmu dan kepakaran para peserta menjadi jariah dan menjadi pencetus kebangkitan Islam," ujar beliau.


Persidangan ini dilihat sebagai platform strategik untuk memperkukuh jaringan saintis Muslim, sekali gus membuka ruang kerjasama lebih luas dalam bidang ilmu, penyelidikan dan pembangunan yang memberi manfaat kepada dunia Islam.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page